
KUALA LUMPUR, 7 Julai – Kerajaan akan berbincang dan mendapatkan maklumat lanjut daripada syarikat minyak berhubung dakwaan terdapat pengusaha stesen minyak menanggung kerugian semasa peralihan pelaksanaan penambahbaikan subsidi bahan api sebelum ini.
- Kerajaan menghargai kerjasama syarikat dan pengusaha stesen minyak dalam menjayakan penyasaran subsidi RON95 dan diesel.
- Perdana Menteri akan minta Menteri Kewangan II mendapatkan keterangan lanjut dan berunding dengan syarikat minyak.
- Syarikat minyak dilaporkan memberi kerjasama penuh, penting untuk pelaksanaan penyasaran subsidi yang berkesan.
- Jika terdapat ketempangan, kerajaan sedia berunding untuk mencari penyelesaian yang baik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan menghargai kerjasama syarikat dan stesen minyak dalam usaha menjayakan pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 dan diesel.
“Saya akan minta Menteri Kewangan II membantu mendapatkan keterangan lanjut dan juga berunding dengan syarikat minyak. Setakat ini mereka memberi kerjasama penuh. Kalau tidak, tidak mungkin kita dapat melaksanakan penyasaran subsidi RON95 dan diesel dengan berkesan.”
“Kalau ada sedikit ketempangan yang dibangkitkan, insya-Allah kita boleh berunding untuk mencari penyelesaian yang baik,” kata beliau.
Perdana Menteri menjawab soalan tambahan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) yang membangkitkan isu pengusaha stesen minyak didakwa menanggung kerugian antara RM40,000 hingga RM50,000 ketika peralihan harga bahan api bersubsidi.