
KUALA LUMPUR, 6 Julai – Program rintis MediAsas bakal dilancarkan hujung bulan ini sebagai langkah penting dalam reformasi pembiayaan penjagaan kesihatan swasta, sekali gus membuka laluan pelaksanaan pelan perlindungan perubatan mampu milik di seluruh negara mulai Januari 2027.
- MediAsas ditetapkan sebagai jenama Pelan Asas MHIT di bawah kerangka RESET bagi meningkatkan kebolehcapaian, kemampuan, ketelusan dan kemampanan penjagaan kesihatan swasta.
- Ditawarkan dalam dua pilihan, MediAsas Teras dan MediAsas Fleksi, dengan perlindungan sehingga umur 85 tahun.
- JBMKKS menubuhkan Lembaga Tadbir Urus Bebas untuk memantau pelaksanaan, memastikan kemampanan dan melindungi kepentingan pengguna.
Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Untuk Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS) bersetuju menetapkan MediAsas sebagai jenama bagi Pelan Asas Insurans dan Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT), yang merupakan antara inisiatif utama di bawah kerangka RESET bertujuan meningkatkan kemampuan, kebolehcapaian, ketelusan serta kemampanan sistem penjagaan kesihatan swasta negara.
Kenyataan Kementerian Kewangan menjelaskan, program rintis berkenaan akan dilaksanakan di Lembah Klang sehingga Oktober depan dengan penyertaan enam syarikat insurans dan pengendali takaful serta hospital swasta terpilih sebelum diperluas ke peringkat nasional.
“MediAsas dijangka memainkan peranan penting dalam mencorakkan semula landskap pembiayaan penjagaan kesihatan swasta serta menyokong transformasi kesihatan jangka panjang secara menyeluruh,” menurut kenyataan itu.
MediAsas akan ditawarkan sebagai pelan perlindungan insurans perubatan dan takaful berasingan menerusi dua pilihan, masing-masing MediAsas Teras dan MediAsas Fleksi dengan perlindungan sehingga usia 85 tahun.
Bagi individu yang menyertai sebelum umur 70 tahun, premium bulanan secara indikatif dianggarkan antara RM60 hingga RM550 bergantung kepada pengalaman tuntutan serta trend inflasi kos penjagaan kesihatan, manakala kadar muktamad akan diumumkan menjelang pelaksanaan nasional.
Bagi memastikan pelaksanaan MediAsas kekal mampan dan melindungi kepentingan pengguna, JBMKKS turut dalam proses menubuhkan Lembaga Tadbir Urus Bebas bagi memantau pelaksanaan inisiatif itu secara berterusan.
Dalam masa sama, JBMKKS meneruskan pelaksanaan beberapa reformasi di bawah kerangka RESET termasuk mempercepat penggunaan rekod perubatan elektronik (EMR) menerusi Rangkaian Persijilan Kesihatan Digital Malaysia (MDHCN), memodenkan proses pelesenan kemudahan kesihatan swasta di bawah Akta 586 serta meningkatkan ketelusan bil hospital swasta melalui kerjasama dengan penyedia perkhidmatan kesihatan, syarikat insurans dan pengendali takaful.
Menurut kenyataan itu lagi, dapatan daripada program rintis MediAsas akan digunakan untuk memperkemas mekanisme pelaksanaan sebelum pelancaran di seluruh negara pada Januari 2027.