
SEMENYIH, 3 Julai – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) menyasarkan 100 koperasi sekolah berupaya melonjakkan pendapatan bagi meraih perolehan RM1 juta, tahun depan.
- ANGKASA telah mengenal pasti koperasi sekolah yang berpotensi mencapai sasaran perolehan.
- Kecemerlangan koperasi sekolah hasil kerjasama dan sokongan berterusan Kementerian Pendidikan.
- Koperasi SMK Bandar Rinching mencatat perolehan melebihi RM1 juta bagi 2024 dan 2025, menjadi sekolah ke-50.
Presidennya, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah yakin sasaran itu mampu dicapai berdasarkan prestasi semasa 30 sekolah di Selangor yang berjaya mencatatkan perolehan antara RM800,000 hingga RM999,000.
“ANGKASA telah mengenal pasti koperasi sekolah-sekolah yang mampu mencapai sasaran berkenaan,”katanya selepas merasmikan Majlis Anugerah Pengiktirafan Perolehan RM1 Juta kepada Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Rinching, di sini.
Beliau turut mengakui kecemerlangan itu hasil kerjasama serta sokongan berterusan Kementerian Pendidikan bagi memperkasa peranan dan sumbangan koperasi sekolah.
Koperasi SMK Bandar Rinching melakar sejarah tersendiri apabila berjaya meraih perolehan tahunan melebihi RM1 juta bagi tahun 2024 dan 2025.
Kejayaan itu menjadikannya sekolah yang ke-50 di Malaysia berjaya mencatat perolehan melebihi RM1 juta daripada keseluruhan 2,500 koperasi sekolah menengah yang beroperasi di seluruh negara.