
JOHOR BAHRU, 29 Jun – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor menubuhkan Pasukan Tindak Balas Krisis (CRT) bagi menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
- Pasukan akan beroperasi 9 hingga 13 Julai dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia.
- JBPM bersiap siaga dengan aset dan jentera untuk menghadapi banjir serta membantu pengundi ke pusat mengundi jika diperlukan.
- Permohonan penggunaan bot atau helikopter akan dipertimbangkan mengikut keperluan semasa.
- Peruntukan RM1.1 juta Jun hingga Disember untuk baik pulih dan penyelenggaraan kuarters serta balai bomba.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Siti Rohani Nadir, pasukan tersebut akan beroperasi mulai 9 hingga 13 Julai dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
JBPM turut bersiap siaga dengan aset dan jentera bagi menghadapi kemungkinan banjir, termasuk membantu membawa pengundi ke pusat mengundi sekiranya diperlukan.
“Permohonan sama ada menggunakan bot atau helikopter akan dipertimbangkan mengikut keperluan semasa.
“Sekiranya hujan berterusan dan terdapat keperluan untuk membawa pengundi dari tempat tinggal ke pusat mengundi, insya-Allah kita akan menyediakan bot bagi memudahkan mereka menunaikan tanggungjawab mengundi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Perhimpunan Bulanan JBPM di sini hari ini.
Menurut Siti Rohani langkah itu bertujuan memastikan semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dipantau rapi, selain memperkukuh kawalan keselamatan dan kesiapsiagaan menghadapi risiko bencana.
Sementara itu, JBPM Johor menerima peruntukan sebanyak RM1.1 juta bagi tempoh Jun hingga Disember tahun ini, untuk kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan kuarters serta balai bomba di seluruh negeri.
Sebelum ini, jabatan itu telah menerima peruntukan RM900,000 bagi tujuan sama pada fasa pertama tahun ini dan kerja-kerja berkenaan telah selesai dilaksanakan.