
VANCOUVER, 27 Jun -Belgium mengesahkan slot ke pusingan kalah mati Piala Dunia selaku juara Kumpulan G selepas membelasah New Zealand 5-1 dalam aksi terakhir peringkat kumpulan di sini.
- Belgium mendominasi babak pertama; sepakan Trossard terkena tiang, kemudian dihalang di atas garisan oleh pertahanan New Zealand Tyler Binden.
- Hadiah penalti untuk Belgium dibatalkan selepas semakan Pembantu Pengadil Video (VAR).
- Trossard, De Bruyne, Lukaku dan Saelemaekers menghasilkan jaringan penting; New Zealand hanya balas melalui gol saguhati Elijah Just.
Kemenangan sulung skuad The Red Devils membolehkan mereka mengatasi Mesir di tangga teratas menerusi perbezaan gol, selepas pencabar dari Afrika itu sekadar terikat 1-1 menentang Iran di Seattle.
Dua gol daripada pemain sayap Arsenal Leandro Trossard serta jaringan daripada Kevin De Bruyne, Romelu Lukaku dan Alexis Saelemaekers memastikan Belgium ke pusingan 32 terakhir
Dalam aksi babak pertama, Belgium mendominasi keseluruhan permainan dan hampir mendahului menerusi Trossard.
Namun sepakan lengkungnya yang terkena tiang gol berjaya dikeluarkan di atas garisan oleh pertahanan New Zealand, Tyler Binden.
Serangan bertali arus Belgium berterusan apabila pengadil dari Jordan, Adham Mohammad, memberikan sepakan penalti selepas rembatan Trossard terkena tangan Finn Surman,
Keputusan itu bagaimana pun kemudiannya dibatalkan selepas dirujuk kepada Pembantu Pengadil Video (VAR).
Belgium akhirnya memecah kebuntuan apabila Trossard bijak mengambil kesempatan dalam situasi kelam-kabut hasil sepakan penjuru De Bruyne untuk membolehkan Belgium mendahului 1-0 sebelum tamat babak pertama.
Memasuki babak kedua, Trossard menggandakan kedudukan Belgium pada minit ke-50 menerusi rembatan voli yang menewaskan penjaga gol New Zealand, Max Crocombe.
Bekas bintang Manchseter City,De Bruyne kemudiannya menambah luka New Zealand menerusi gol ketiga pada minit ke-66.
New Zealand bagaimanapun kembali merapatkan jurang menerusi Elijah Just meledak gol saguhati pada lewat permainan untuk menjadikan kedudukan 3-1.
Namun begitu, pemain gantian Romelu Lukaku mengukuhkan kedudukan Belgium menerusi gol keempat hasil tandukan pada minit ke-86.
Alexis Saelemaekers melengkapkan malam gemilang Belgium dengan gol kelima menerusi rembatan padu dari luar kotak penalti. – AFP