
GUADALAJARA, 27 Jun – Jaringan tunggal Alex Baena pada babak pertama sudah cukup untuk membantu Sepanyol menewaskan Uruguay 1-0 pada Jumaat.
- Uruguay mula agresif dan mengancam awal, termasuk peluang terbaik Nunez yang disia-siakan pada minit ke-27.
- Sepanyol kerap mengancam melalui bola mati; Cubarsi dan Olmo hampir menjaringkan gol.
- Unai Simon membuat beberapa penyelamatan penting menafikan percubaan Mathias Olivera dan Nicolas de la Cruz.
- Sepanyol tamat Kumpulan H dengan tujuh mata; Cape Verde ke pusingan 32 sebagai naib juara; Uruguay dan Arab Saudi tersingkir; Canobbio dilayangkan kad merah.
Kemenangan itu sekali gus mengesahkan skuad La Roja selaku juara Kumpulan H untuk mara ke pusingan kalah mati Piala Dunia.
Uruguay memulakan permainan dengan agresif dan berjaya merantai pergerakan bintang muda, Lamine Yamal, di sebelah kanan menerusi pemain pertahanan Guillermo Varela berjaya mengawal ketat pergerakan bintang muda, Lamine Yamal.
Peluang terbaik Uruguay hadir pada minit ke-27 selepas Federico Valverde berjaya mencuri bola daripada Rodri sebelum melorongkan hantaran kepada Darwin Nunez di dalam kotak penalti.
Namun Nunez gagal menyempurnakan peluang keemasan tersebut.
Sepanyol pula lebih banyak mengancam kubu Uruguay menerusi situasi bola mati pada separuh masa pertama.
Pau Cubarsi hampir membuka jaringan buat Sepanyol menerusi tandukan yang tersasar pada minit ke-16.
Baena kemudiannya memecah kebuntuan pada minit ke-42 apabila mendapat peluang di luar kotak penalti sebelum melepaskan rembatan padu yang gagal ditangkap kemas oleh penjaga gol Uruguay, Fernando Muslera, menyaksikan bola muntah daripada dakapan lalu menerjah masuk ke gawang.
“Ini mungkin salah satu gol yang paling menggembirakan saya,” kata Baena kepada stesen televisyen tempatan. “Kami tahu ia akan menjadi perlawanan yang sengit.
“Mereka berjuang untuk layak, manakala kami memburu kedudukan teratas. Kami tidak memamerkan aksi terbaik, tetapi kami bersaing dengan sangat baik,” tambahnya.
Memasuki babak kedua, corak permainan kekal sama dengan Uruguay terus mempertingkatkan asakan namun buntu mendapatkan gol.
Kemasukan Federico Vinas yang menggantikan Valverde hampir membuahkan hasil, tetapi rembatan kaki kirinya melambung tinggi.
Pengendali Sepanyol, Luis de la Fuente, kemudian memasukkan Dani Olmo yang hampir menggandakan kedudukan pada minit ke-63 selepas menerima hantaran Lamine, tetapi rembatannya tersasar.
Uruguay cuba melakukan asakan di saat-saat akhir permainan, namun penjaga gol Sepanyol, Unai Simon, tangkas menyelamatkan keadaan dengan menafikan percubaan Mathias Olivera dan Nicolas de la Cruz.
Sepanyol turut berpeluang mematikan langkah Uruguay menerusi Ferran Torres.
Namun, rembatan kaki kanannya sekadar menggegar palang gol.
Sepanyol menamatkan saingan peringkat kumpulan dengan tujuh mata hasil dua kemenangan dan satu keputusan seri.
Sementara itu, Cape Verde mengiringi mereka ke pusingan 32 terakhir selaku naib juara selepas mengumpul tiga mata.
Manakala Uruguay dan Arab Saudi terpaksa pulang awal selepas sekadar mengutip dua mata.
Kekecewaan Uruguay akhirnya memuncak pada masa kecederaan apabila Agustin Canobbio dilayangkan kad merah ekoran terjahan keras ke atas Cubarsi, sekali gus melengkapkan malam duka buat Uruguay pada edisi Piala Dunia kali ini. – REUTERS