
HOUSTON, 27 Jun – Pasukan kerdil, Cape Verde yang membuat penampilan kali pertama di Piala Dunia meneruskan kejutan selepas melayakkan diri ke pusingan ke-32 terbaik apabila mencatatkan keputusan 0-0 menentang Arab Saudi.
- Jurulatih Bubista membuat rombakan separuh kesebelasan utama namun mengekalkan penjaga gol veteran Vozinha.
- Pertahanan Arab Saudi Hassan al-Tambakti terpaksa diusung keluar akibat kecederaan pada minit ke-33.
- Cape Verde dijadualkan menentang juara bertahan Argentina di Miami pada 3 Julai.
Keputusan berkenaan turut dibantu oleh kemenangan 1-0 Sepanyol ke atas Uruguay sekali gus menyaksikan negara kepulauan yang menduduki ranking ke-67 dunia berkenaan menamatkan saingan Kumpulan H selaku naib juara di belakang Sepanyol.
Pada perlawanan menentang Arab Saudi, pengendali Cape Verde, Bubista, melakukan rombakan terhadap separuh daripada kesebelasan utamanya.
Namun, Bubista tetap mengekalkan penjaga gol veteran dan wira pasukan, Vozinha. Penjaga gol berusia 40 tahun itu sebelum ini memamerkan aksi luar biasa ketika membantu Cape Verde meraih mata menentang Sepanyol dan Uruguay.
Cape Verde berjaya mempamerkan aksi kemas bagi mengikat kedudukan 0-0 sehingga tamat separuh masa pertama.
Sebaliknya, Arab Saudi menerima tamparan hebat pada minit ke-33 apabila pertahanan berpengalaman mereka, Hassan al-Tambakti, terpaksa diusung keluar akibat kecederaan.
Bersambung babak kedua, Cape Verde berpeluang didepan sejurus selepas rehat, namun rembatan jarak dekat Jamiro Monteiro agak lemah bagi menewaskan penjaga gol Arab Saudi.
Manakala percubaan jarak jauh Kevin Pina sedikit tersasar daripada gawang Arab Saudi.
Memasuki 15 minit terakhir perlawanan, penjaga gol Arab Saudi, Mohammed al-Owais, bertindak cemerlang menafikan percubaan berbahaya Laros Duarte pada minit ke-75 bagi memastikan kedudukan kekal tanpa jaringan sehingga wisel penamat.
Negara kepulauan dengan populasi sekitar 500,000 penduduk itu dijadualkan menentang juara bertahan, Argentina di Miami pada 3 Julai depan. – AFP