
LA PAZ, 24 Jun – Kerajaan Bolivia mengesahkan tiada lagi sekatan jalan raya oleh kumpulan penunjuk perasaan di seluruh negara susulan tindakan pihak berkuasa mengerahkan anggota tentera meredakan demonstrasi yang berlangsung sejak berminggu-minggu sebelum ini hingga melumpuhkan laluan pengangkutan utama.
- Golongan pekerja dan komuniti peribumi berhimpun menentang krisis ekonomi terburuk beberapa dekad, menuntut peletakan jawatan Presiden Rodrigo Paz.
- Presiden Paz menolak tekanan dan mempertahankan kedudukannya meskipun demonstrasi berterusan.
- Beliau mengisytiharkan darurat yang mengharamkan demonstrasi dan memberi kuasa luas kepada pasukan keselamatan.
- AS dan 15 negara Amerika Latin menyokong kerajaan sah, menggesa rundingan serta dialog dalam kerangka perlembagaan.
Menteri Kerja Raya, Mauricio Zamora menerusi hantaran di platform X mengesahkan bahawa kesemua sekatan yang pernah mencecah sekitar 100 lokasi, kini telah dibersihkan sepenuhnya.
“Laluan jalan raya kita kini telah bebas daripada sebarang sekatan,” jelas beliau.
Sejak awal bulan lalu, golongan pekerja dan komuniti peribumi telah mengadakan protes besar-besaran bagi membantah krisis ekonomi terburuk Bolivia dalam tempoh beberapa dekad, selain menuntut peletakan jawatan Presiden, Rodrigo Paz.
Bagaimanapun, Paz yang menerima tekanan hebat itu tetap mempertahankan kedudukannya.
Pada Sabtu lalu, beliau mengisytiharkan darurat yang membenarkan penempatan tentera serta pengharaman sebarang bentuk demonstrasi.
Langkah kecemasan tersebut turut memberi kuasa penuh kepada pasukan keselamatan untuk membersihkan sekatan jalan raya yang sebelum ini telah mencetuskan krisis bekalan makanan, perubatan dan bahan api yang meruncing di beberapa bandar.
Dalam pada itu, pentadbiran Presiden Paz yang mendapat sokongan Washington menerima isyarat solidariti tambahan daripada Amerika Syarikat (AS) dan sekutu serantau lain.
“Kami amat bimbang dengan kesan sekatan jalan raya yang ganas ini terhadap sistem demokrasi dan kedaulatan undang-undang di Bolivia.
Kami menyokong penuh kerajaan Bolivia yang dipilih secara sah di bawah perlembagaan,” menurut kenyataan bersama Jabatan Negara AS berserta 15 negara Amerika Latin yang lain.
Kenyataan itu turut menggesa kumpulan yang terlibat dalam mobilisasi protes berkenaan untuk mengutamakan jalan rundingan dan dialog dalam kerangka perlembagaan sedia ada.- AFP