
KUALA LUMPUR, 22 Jun – Perubahan pesat dalam landskap penyalahgunaan dadah yang kini semakin dipengaruhi teknologi menuntut pendekatan lebih dinamik dan menyeluruh dalam usaha pencegahan serta intervensi.
- Trend penyalahgunaan berubah kompleks; memerlukan pendekatan proaktif dan berfokus.
- AADK sentiasa menilai semula keberkesanan inisiatif dan tidak bergantung pada satu pendekatan sahaja.
- Kempen kesedaran dipergiat, menumpu kumpulan sasar kecil melalui pendekatan komuniti.
- Sambutan Hari Antidadah 2026 di Pulau Pinang (27 Jun) mengangkat tema 'Komuniti Sihat dan Sejahtera' dengan Rawatan Tanpa Sempadan, pendidikan dan aktiviti belia.
Walaupun statistik tahun 2025 mencatatkan penurunan sebanyak 1.3 peratus kepada 191,832 kes berbanding 192,857 kes pada 2024, situasi itu masih memerlukan tindakan bersepadu dan berskala nasional bagi memastikan usaha memerangi dadah terus berkesan.
Pengarah Bahagian Pencegahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Siti Mariam Mursidan berkata, trend penyalahgunaan dadah yang sentiasa berubah menjadikan cabaran semakin kompleks, sekali gus memerlukan pendekatan lebih proaktif dan berfokus.
“Apabila membincangkan isu penyalahgunaan dadah, kita melihat perubahan yang berlaku sangat pantas, sama ada dari segi jenis bahan mahupun corak penggunaannya yang semakin kompleks.
“Sehubungan itu, AADK bersama agensi berkaitan sentiasa bergerak secara proaktif dalam merangka langkah terbaik untuk menangani permasalahan ini.
“Kami tidak terhenti pada satu pendekatan sahaja, sebaliknya sentiasa menilai semula keberkesanan setiap inisiatif yang dilaksanakan.
“Justeru, pelbagai kempen kesedaran terus dipergiat, termasuk memberi tumpuan kepada kumpulan sasar yang lebih kecil melalui pendekatan komuniti bagi memastikan maklumat dan mesej yang disampaikan benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir ke Angkasapuri bagi mempromosikan Sambutan Peringatan Hari Antidadah 2026 dalam program Selamat Pagi Malaysia.
AADK menegaskan, kerjasama semua pihak termasuk komuniti, majikan dan masyarakat amat penting dalam memastikan usaha membanteras penyalahgunaan dadah dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
Mengangkat tema ‘Komuniti Sihat dan Sejahtera’, Sambutan Peringatan Hari Antidadah 2026 yang akan berlangsung di Pulau Pinang pada 27 Jun ini diharap dapat memperkukuh kesedaran awam serta komitmen bersama dalam memerangi gejala dadah.
Pelbagai program termasuk mobilisasi Rawatan Tanpa Sempadan, pendidikan, ceramah dan aktiviti komuniti turut dirangka, khususnya bagi mendekati golongan belia dengan mesej pencegahan yang lebih berkesan.