
GEORGE TOWN, 22 Jun – Penggunaan teknologi maklumat (IT) dan kecerdasan buatan (AI) akan dipertingkatkan dalam usaha memperkukuh penguatkuasaan keselamatan di Pulau Pinang.
- Buka ruang kerjasama dengan syarikat teknologi tinggi untuk meningkatkan kecekapan operasi dan imej Polis Pulau Pinang.
- Arahan kepada semua Ketua Polis Daerah memastikan laporan polis diterima, terutama situasi kecemasan, tanpa sebarang penolakan.
- Laksanakan strategi pemulihan kawasan berisiko secara proaktif bagi mengekang jenayah setempat dan mengekalkan keselamatan negeri.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, pendekatan itu penting selari dengan perkembangan jenayah masa kini yang semakin kompleks dan merentas sempadan.
Menurut beliau, pihaknya turut membuka ruang kerjasama dengan badan korporat yang mempunyai kepakaran dalam teknologi tinggi bagi meningkatkan kecekapan operasi serta imej pasukan polis negeri.
“Penggunaan teknologi maklumat (IT) dan kecerdasan buatan (AI) perlu dioptimumkan bagi memperkukuh penguatkuasaan serta operasi keselamatan di Malaysia.
“Dalam hal ini, pihak polis sentiasa terbuka untuk penambahbaikan dan perubahan. Kita menyedari bahawa dunia siber kini tidak bersempadan, dan jenayah masa hadapan juga semakin menjurus ke arah tanpa sempadan serta berasaskan siber.
“Oleh itu, penguasaan dan pemanfaatan IT serta AI amat penting dalam memastikan keselamatan negara terus terpelihara,”katanya pada pertemuan pertamanya bersama pengamal media selepas memulakan tugas sebagai Ketua Polis Pulau Pinang, menggantikan Datuk Ts. Azizee Ismail yang bersara wajib pada 20 Jun lalu.
Dalam pada itu, Datuk Dennis menegaskan semua Ketua Polis Daerah (KPD) di negeri ini diarah memastikan tiada individu dinafikan hak untuk membuat laporan polis, khususnya dalam situasi kecemasan.
“Dalam apa jua keadaan kecemasan, sama ada melibatkan kemalangan jalan raya, ancaman nyawa atau jenayah, mana-mana individu yang hadir ke balai polis untuk mendapatkan bantuan mesti diberikan perhatian sewajarnya. Pihak polis wajib menerima laporan tanpa sebarang penolakan.” katanya.
Selain itu, beliau turut menekankan pelaksanaan strategi pemulihan kawasan berisiko sebagai langkah proaktif bagi mengekang jenayah setempat dan mengekalkan Pulau Pinang sebagai antara negeri paling selamat di Malaysia.