Lima masjid terima manfaat Program Satelit Khas Rakyat MADANI

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan, pada Program Satelit Khas Komuniti Rakyat MADANI di Behrang, Perak / foto FB Jabatan Kemajuan Islam Malaysia – JAKIM

HULU SELANGOR, 20 Jun – Lima buah masjid di mukim Behrang, Perak menerima manfaat menerusi Program Satelit Khas Komuniti Rakyat MADANI yang dilaksanakan bagi mendekati komuniti setempat.

RINGKASAN BERITA AI
  • JAKIM menyalurkan RM10,000 setiap masjid melalui PACU untuk Program Kenduri Rakyat mengeratkan ukhuwah antara Selangor dan Perak.
  • Agihan bakul makanan disalurkan kepada golongan asnaf bagi menyantuni komuniti yang memerlukan.
  • Program melibatkan kerjasama agensi dan masyarakat, selari aspirasi Malaysia MADANI serta sambutan Maal Hijrah sebagai simbol perpaduan.

Masjid terlibat termasuk Masjid Al-Hidayah Bandar Behrang 2020, Masjid Jamek Kampung Kelawar dan Masjid Jamek Behrang Ulu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, menerusi program itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyalurkan peruntukan sebanyak RM10,000 kepada setiap masjid melalui sumbangan Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) bagi pelaksanaan Program Kenduri Rakyat, yang bertujuan mengeratkan ukhuwah merentasi dua negeri iaitu Selangor dan Perak.

Selain itu, anak-anak kariah turut disantuni menerusi agihan bakul makanan kepada golongan asnaf yang memerlukan.

Menurut Dr. Zulkifli, program berkenaan melibatkan kerjasama pelbagai pihak dalam menyampaikan perkhidmatan serta inisiatif secara terus kepada komuniti.

Program itu turut melibatkan pelaksanaan aktiviti bersama rakyat yang bertujuan membantu di samping membangunkan masyarakat setempat selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.

“Ini merupakan sebahagian daripada program yang kita laksanakan bersama rakyat untuk membantu dan membangunkan penduduk serta masyarakat di kawasan masing-masing, selari dengan gagasan MADANI yang menekankan bantuan dari sudut kewangan dan kemahiran.

“Program ini digerakkan sepanjang tahun bersama JAKIM dan agensi-agensi hal ehwal agama, serta kali ini dengan PACU dan Jabatan Agama Islam Negeri Perak bersama penduduk kampung serta warga masjid,” katanya ketika menyempurnakan program berkenaan.

Program tersebut diadakan bersempena sambutan Maal Hijrah sebagai simbol perpaduan masyarakat yang harmoni walaupun berbeza latar belakang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.