‘Kedaulatan negara perlu dihormati, henti hipokrasi’ – PM

Datuk Seri Anwar Ibrahim/RT International

KUALA LUMPUR, 18 Jun- Malaysia mempersoalkan tindakan menyerang negara berdaulat serta menegaskan sebarang konflik antarabangsa perlu dilihat berdasarkan prinsip hubungan antarabangsa dan hak asasi manusia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Masyarakat antarabangsa mesti menilai tindakan secara konsisten tanpa mengira pihak.
  • Malaysia menentang serangan yang mencabar kedaulatan, termasuk serangan disokong kuasa besar.
  • Malaysia terus bersuara tentang isu kemanusiaan dan aktif berdiplomasi untuk mencari penyelesaian.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata masyarakat antarabangsa perlu menilai tindakan sedemikian secara konsisten tanpa mengira pihak yang terlibat.

Beliau berkata Malaysia mengambil pendirian tegas terhadap serangan Israel yang disokong Amerika Syarikat terhadap Iran kerana ia melibatkan persoalan asas mengenai kedaulatan sesebuah negara.

“Bagaimana kita boleh membenarkan pendirian yang diambil oleh pihak tertentu seperti Israel dan disokong oleh Amerika Syarikat untuk menyerang negara lain yang berdaulat?” katanya dalam temu bual bersama RT International di Rusia.

Datuk Seri Anwar berkata perkara itu bukan sekadar berkaitan kesan konflik atau kesukaran ekonomi akibat peperangan tetapi melibatkan persoalan prinsip sama ada dunia boleh menerima tindakan sedemikian.

“Adakah kita menerima perkara ini atau membiarkan hipokrasi seperti ini berterusan dalam dunia moden yang bertamadun?” katanya.

Beliau berkata Malaysia terus menyuarakan pendirian berhubung isu kemanusiaan termasuk konflik di Gaza dan Lubnan.

Menurutnya, Malaysia turut terlibat dalam usaha diplomasi bersama pemimpin negara berkaitan termasuk negara Teluk, Pakistan, Turkiye dan Iran bagi mencari penyelesaian terhadap konflik yang berlaku.

Datuk Seri Anwar berkata masyarakat antarabangsa wajar menilai setiap tindakan berdasarkan prinsip yang sama dan tidak memilih pendirian mengikut kepentingan tertentu.

Perdana Menteri berada di Kazan untuk lawatan kerja dua hari ke ibu negara dan bandar terbesar di Tatarstan, Rusia itu bagi menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia yang berlangsung dari 17 hingga 18 Jun ini.

Lawatan berkenaan diadakan atas jemputan Presiden Rusia, Vladimir Putin.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.