PM Anwar hargai sokongan Presiden Putin perkukuh kerjasama tenaga

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Rusia Vladimir Putin menyampaikan ucapan pembukaan sesi pertemuan dua hala di luar Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia di sini. / Foto BERNAMA

KAZAN, 18 Jun – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin atas sokongan dalam memperkukuh kerjasama tenaga dengan Malaysia, ketika dunia berdepan krisis bekalan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Platform libat urus antara PETRONAS dan Rosneft bagi memajukan sektor tenaga.
  • Rusia dan Malaysia mempunyai asas kukuh untuk memperluaskan kerjasama menjelang sambutan enam dekad hubungan diplomatik.
  • Perdagangan Kuala Lumpur-Moscow meningkat 12.9 peratus pada 2025 dan Rusia memberi keutamaan kepada pendidikan, sains, teknologi serta pelancongan.

Jelas beliau, sokongan itu termasuk menyediakan platform libat urus antara syarikat petroleum negara, PETRONAS dengan syarikat tenaga bersepadu terbesar Rusia, iaitu Rosneft bagi memajukan sektor berkenaan.

“Terdapat beberapa isu berkaitan tenaga. Anda telah memberikan sokongan yang sangat baik, terima kasih. PETRONAS berada di sini bersama Rosneft dan beberapa syarikat lain.

“Kami amat menghargai kesungguhan anda untuk meningkatkan kerjasama itu serta sokongan yang diberikan ketika krisis tenaga ini,” katanya.

Beliau menyatakannya dalam ucapan pembukaan sesi pertemuan dua hala dengan Putin di luar Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia, di sini pada Rabu.

Rosneft yang beribu pejabat di Moscow, menyumbang kira-kira 40 peratus daripada jumlah pengeluaran minyak Rusia, sekali gus menjadikannya antara syarikat minyak dan gas awam terbesar di dunia.

Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada Putin atas pendirian konsisten Rusia berhubung isu Gaza dan situasi konflik di Asia Barat.

Sementara itu, Putin berkata Rusia dan Malaysia mempunyai asas kukuh untuk terus memperluas kerjasama bilateral ketika kedua-dua negara bakal meraikan enam dekad hubungan diplomatik tahun depan.

“Malaysia merupakan rakan global lama Rusia dengan jalinan kerjasama sentiasa berasaskan prinsip saling menghormati serta mengambil kira kepentingan masing-masing,” katanya.

Jelasnya lagi, perdagangan Kuala Lumpur-Moscow terus berkembang, dengan perdagangan antara kedua-dua negara meningkat 12.9 peratus pada 2025.

“Rusia memberi keutamaan besar kepada kerjasama dengan Malaysia dalam bidang pendidikan, sains dan teknologi, pelancongan serta hubungan kemanusiaan,” ujarnya.

Rusia merupakan rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia dalam kalangan negara Eropah pada 2025, dengan jumlah perdagangan bernilai lebih RM8 bilion.

Eksport utama ke Rusia merangkumi produk elektrik dan elektronik, jentera, peralatan dan alat ganti, serta produk makanan.

Import utama Malaysia dari Rusia pula termasuk produk petroleum, mineral, bahan kimia dan produk berasaskan kimia.

Perdana Menteri berada di Kazan sempena Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia dari 17 hingga 18 Jun.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.