
BUKIT MERTAJAM, 15 Jun – Sambutan Hari Belia Negara peringkat Pulau Pinang 2026 dilihat sebagai platform penting dalam memperkasa golongan belia menerusi pendedahan kepada pelbagai peluang, kemahiran dan inisiatif kerajaan.
- Tema Menggerak Belia MADANI menekankan belia memperoleh manfaat nyata daripada setiap program, bukan sekadar hadir.
- Kerjasama kementerian membuka reruai menarik membantu anak muda memahami bantuan dan inisiatif kerajaan.
- Penglibatan jabatan kerajaan dan agensi swasta meluaskan jaringan sokongan; sambutan tiga hari interaktif memberi impak positif kepada pembangunan belia.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, sambutan bertemakan Menggerak Belia MADANI itu dirangka bagi memastikan golongan muda bukan sekadar hadir, sebaliknya memperoleh manfaat nyata daripada setiap program yang disediakan.
Menurut beliau, pendekatan tersebut selari dengan usaha kerajaan dalam memperkukuh agenda pembangunan belia secara menyeluruh.
“Pengunjung yang hadir ini tidak hanya hadir untuk program sekali sahaja, tetapi yang penting mereka pulang dengan manfaat daripada pengisian program.
“Kita juga mendapat kerjasama baik daripada kementerian lain untuk membuka reruai yang menarik minat anak muda, sekali gus memberi ruang kepada mereka memahami bentuk bantuan dan inisiatif yang disediakan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Belia Negara 2026 di UiTM Permatang Pauh.
Tambah beliau, penganjuran program itu turut melibatkan kerjasama pelbagai jabatan kerajaan dan agensi swasta, sekali gus memperluas jaringan sokongan kepada golongan belia.
Sambutan yang berlangsung selama tiga hari itu dijangka menarik kira-kira 80,000 pengunjung, selain menjadi medan interaktif yang mampu memberi impak positif kepada pembangunan generasi muda.