
KUALA LUMPUR, 14 Jun – Seramai 38,953 individu direkodkan kehilangan pekerjaan (LOE) sepanjang tempoh Januari hingga Mei tahun ini.
- Kehilangan pekerjaan tertumpu kepada pekerja umur 25 hingga 39 tahun, dengan lebih ramai lelaki terjejas berbanding wanita.
- Sektor pembuatan, perdagangan borong dan runcit serta pentadbiran merekodkan banyak kehilangan pekerjaan akibat penstrukturan semula dan pelarasan operasi.
- KESUMA dan PERKESO perhebat intervensi: MYFutureJobs, latihan kemahiran serta intervensi awal untuk lindungi sektor kritikal dan bantu penempatan semula.
Menurut Menteri Sumber Manusia (KESUMA), Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan, daripada angka itu, majoriti kes melibatkan pekerja berumur 25 hingga 39 tahun.
Manakala katanya mengikut jantina, lelaki mencatatkan 23,536 kes atau 60.4 peratus dan wanita merekodkan 15,417 kes atau 39.6 peratus.
“Kehilangan pekerjaan sepanjang tempoh tersebut tertumpu dalam beberapa sektor utama ekonomi khususnya sektor pembuatan, perdagangan borong dan runcit serta pembaikan kenderaan bermotor selain aktiviti pentadbiran dan khidmat sokongan,” ujar beliau menerusi kenyataan.
Tambah beliau, situasi tersebut sebahagian besar dipengaruhi oleh langkah penstrukturan semula organisasi dan pelarasan operasi perniagaan susulan ekonomi semasa negara.
Bagaimanapun kata Datuk Seri Ramanan, pasaran buruh negara kekal berada pada landasan kukuh dengan jumlah tenaga buruh mencecah 17.33 juta orang pada April 2026.
“Kadar pengangguran kekal rendah pada 3.0 peratus.Kadar penyertaan tenaga buruh pula direkodkan pada 70.9 peratus, merangkumi 82.9 peratus bagi lelaki dan 57.3 peratus bagi wanita,” jelas beliau.
Sehubungan itu, KESUMA mempergiat pelbagai langkah intervensi bagi membantu golongan terjejas mendapatkan pekerjaan baharu, meningkatkan kemahiran sekaligus memperkukuh daya tahan pasaran buruh negara dalam mendepani krisis bekalan global ketika ini.
“Pertama, peralihan kerjaya dan profil pekerja atau sokongan kerjaya iaitu platform MYFutureJobs menghubungkan pekerja LOE dengan jawatan bersesuaian. Kedua, program peningkatan kemahiran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang menyediakan program latihan untuk membina kemahiran baharu atau meningkatkan kemahiran sedia ada.
“Ketiga, intervensi awal untuk sektor kritikal. PERKESO mengenal pasti sektor yang berpotensi terjejas dan melaksanakan intervensi awal,” ujar beliau.