KITE terus unggul, penyertaan antarabangsa meningkat

Gambar Hiasan / BERNAMA


KUANTAN, 12 Jun –
Festival Layang-Layang Antarabangsa Kuantan (KITE) semakin mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa apabila jumlah penyertaan bertambah kepada 17 negara pada edisi tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Festival berlangsung enam hari bermula 1 Julai di Cherating.
  • Melibatkan 66 peserta dan menyasarkan kehadiran 20,000 pengunjung.
  • Kawasan dibahagikan enam zon parkir, 10 bas ulang-alik dan buggy disediakan untuk pengunjung.
  • Tema Cherating Wind and Ocean Wave, persembahan layang-layang gergasi dan bercahaya, serta bengkel dan gerai makanan.

Datuk Bandar Kuantan Datuk Zaliza Zulkipli berkata jumlah itu meningkat berbanding 10 negara pada penganjuran 2023 dan 2024 serta 12 negara pada tahun lepas.

Antara negara yang pertama kali menyertai festival berkenaan ialah Sweden, Poland, Tunisia, Jepun dan India.

Menurutnya, festival yang berlangsung selama enam hari mulai 1 Julai di Cherating itu akan melibatkan 66 peserta serta menyasarkan kehadiran 20,000 pengunjung.

Bagi memastikan kelancaran penganjuran, kawasan festival akan dibahagikan kepada enam zon parkir selain penyediaan 10 bas ulang-alik untuk kemudahan pengunjung.

“Perkhidmatan bas ulang-alik akan disediakan sepanjang festival berlangsung dari pagi hingga malam.

“Selain itu, Majlis Perbandaran Kemaman turut menyediakan beberapa buggy bagi membantu pergerakan pengunjung di lokasi penganjuran,” katanya.

Mengangkat tema “Cherating Wind and Ocean Wave”, festival itu menampilkan pelbagai jenis layang-layang termasuk layang-layang bersaiz gergasi dan bercahaya yang akan diterbangkan pada waktu malam.

Festival berkenaan turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sampingan termasuk 42 gerai dan kios makanan serta minuman, selain bengkel dan pameran wau.

Inisiatif itu bertujuan memperkenal warisan tradisional negara kepada generasi muda serta pengunjung antarabangsa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.