Sindiket ‘calling centre’: 10 warga China, dua rakyat tempatan diberkas

FOTO HIASAN /BERNAMA

AYER KEROH, 12 Jun – 10 lelaki warga China serta dua rakyat tempatan ditahan polis disyaki terlibat sindiket ‘calling centre’ yang menawarkan pelaburan tidak wujud di Taman Krubong Perdana, Melaka.

RINGKASAN BERITA AI
  • JSJK merampas 12 komputer, 12 telefon dan dua modem bernilai kira-kira RM40,000 semasa serbuan di dua premis.
  • Sindiket mula beroperasi awal bulan, menyasarkan warga China melalui platform Dong Fang Cai Fu dan pautan estmoney.com.
  • Suspek bertindak sebagai operator khidmat pelanggan menghubungi mangsa untuk memperdaya mereka; kes disiasat di bawah Seksyen 420, 120B dan Akta Imigresen.

Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superitendan Halim Abas berkata serbuan pada Rabu lepas dilakukan setelah pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Melaka melakukan serbuan di dua premis.

12 set komputer dirampas termasuk 12 telefon bimbit serta dua set modem dengan nilai keseluruhan kira-kira RM40,000.

Menurutnya, sindiket berkenaan mula beroperasi pada awal bulan ini dan menyasarkan warganegara China menerusi platform Dong Fang Cai Fu dengan menggunakan pautan estmoney.com.

“Hasil siasatan yang dijalankan oleh pihak polis mendapati suspek kedua-dua sindiket ini berperanan sebagai operator khidmat pelanggan yang bertanggungjawab menghubungi pelanggan sasaran dan memperdaya mereka agar melakukan pelaburan menerusi laman sesawang berkenaan,” jelasnya pada sidang media kejayaan tangkapan sindiket berkenaan di Ibu Pejabat Kontinjen Melaka di sini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 120B Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.