
- Perbincangan menumpukan usaha memperkukuh kerjasama dalam keamanan serta pertukaran pandangan mengenai isu antarabangsa semasa.
- Penekanan bahawa keamanan berkekalan hanya dicapai melalui dialog, persefahaman dan komitmen bersama untuk menegakkan keadilan.
- Mengimbau sejarah kerjasama lama termasuk Forum 2000 yang membincangkan demokrasi, hak asasi manusia, keamanan dan masa depan peradaban.
- Menghargai sumbangan kemanusiaan dan bertukar pandangan mengenai Myanmar, konflik Israel-Iran serta krisis kemanusiaan di Palestin.
Dalam kenyataan di Facebooknya, Datuk Seri Anwar berkata pertemuan itu membincangkan usaha memperkukuh kerjasama dalam bidang keamanan serta pertukaran pandangan mengenai perkembangan isu antarabangsa semasa.
“Usaha keamanan harus terus disokong pimpinan dunia serta masyarakat antarabangsa. Keamanan yang berkekalan hanya dapat dicapai melalui dialog, persefahaman dan komitmen bersama untuk menegakkan keadilan,” katanya.
Beliau berkata pertemuan itu turut menyingkap sejarah kerjasama panjang antara kedua-dua pihak termasuk menerusi Forum 2000 yang diasaskan oleh bekas Presiden Czech, Václav Havel.
“Kami sempat menghimbau sejarah panjang kerjasama yang terjalin sejak sekian lama, termasuk menerusi Forum 2000 yang diasaskan oleh bekas Presiden Czech, Václav Havel, yang menghimpunkan pemimpin, cendekiawan dan pemikir dunia untuk membincangkan isu demokrasi, hak asasi manusia, keamanan dan masa depan peradaban sejagat,” katanya.
Perbincangan turut menyentuh usaha memperkasa generasi muda Asia Tenggara menerusi pelbagai program pembangunan kepimpinan berteraskan gagasan Asian Renaissance, yang memberi penekanan kepada nilai, budaya dan kemanusiaan dalam kepimpinan.
Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan Tan Sri Yohei Sasakawa dalam usaha kemanusiaan di peringkat antarabangsa.
“Saya zahirkan penghargaan atas sumbangan besar Tan Sri Sasakawa kepada usaha kemanusiaan di seluruh dunia sejak sekian lama,” katanya.
Kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai perkembangan isu global termasuk situasi di Myanmar, konflik Israel-Iran serta krisis kemanusiaan di Palestin.