UMT santuni bakal mahasiswa asnaf, hulur bantuan kewangan

Naib Canselor UMT, Prof. Zamri (tengah) menyampaikan surat tawaran menyambung pengajian kepada Qaira Damia sempena sesi kunjungan Asnaf Pelajar 2026 di Kota Bharu/Foto UMT

KUALA NERUS, 8 Jun – Susulan kisah tular kesukaran hidup keluarga Nur Qaira Dhamia Amir Abdullah untuk melanjutkan pengajian ke menara gading, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bertindak proaktif dalam menyalurkan bantuan kewangan kepada bakal mahasiswa daripada keluarga asnaf.

RINGKASAN BERITA AI
  • UMT menyampaikan bantuan kewangan termasuk Sumbangan Zakat Asnaf RM1,000, Bantuan Bingkas Kasih RM200, Dana Sara Hidup RM300, dan Dapo@MAIDAM RM300.
  • Bantuan disampaikan oleh Naib Canselor kepada bakal pelajar yang akan mengikuti pengajian Diploma Perikanan di UMT.
  • UMT menegaskan komitmen membantu pelajar berdepan cabaran kewangan agar tiada individu tercicir daripada pendidikan tinggi.
  • Pusat Ihsan dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar akan terus memperkukuh inisiatif kebajikan demi kesejahteraan mahasiswa.

Menerusi sesi ziarah ke kediaman keluarga Qaira Dhamia, bakal pelajar UMT itu menerima Sumbangan Zakat Asnaf berjumlah RM1,000, Bantuan Bingkas Kasih bernilai RM200, Dana Bantuan Sara Hidup sebanyak RM300 serta sumbangan Dapo@MAIDAM bernilai RM300 yang akan dinikmati ketika di kampus.

Bantuan disampaikan oleh Naib Canselor UMT, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim kepada Qaira Dhamia yang bakal mengikuti pengajian Diploma Perikanan di universiti itu.

Menurut Mohd Zamri, pihak universiti sentiasa peka terhadap kebajikan pelajar dan bakal pelajar yang berhadapan cabaran kewangan serta berusaha memastikan tiada individu tercicir daripada pendidikan tinggi akibat kekangan ekonomi.

“Pendidikan merupakan pemangkin perubahan hidup dan masa depan seseorang. Sebagai institusi pendidikan tinggi, UMT bertanggungjawab membantu pelajar yang memerlukan agar mereka dapat meneruskan pengajian dengan lebih yakin dan sempurna,” katanya ketika sesi ziarah tersebut.

Tambahnya, bantuan tersebut diharap dapat meringankan beban keluarga pelajar berkenaan sebagai persediaan awal sebelum memulakan kehidupan sebagai mahasiswa.

UMT melalui Pusat Ihsan serta Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni akan terus memperkukuh inisiatif kebajikan bagi membantu pelajar yang memerlukan sokongan kewangan dan sosial.

Turut hadir dalam sesi ziarah tersebut ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Prof. Dr. Mohd Izani Mohd Zain; Pengarah Pusat Ihsan UMT, Prof. Madya Dr. Mohd Riswadi Azmi; dan Pengarah Pejabat Komunikasi Korporat UMT, Zukiferee Ibrahim.

Sementara itu, keluarga Qaira Dhamia menzahirkan penghargaan atas keprihatinan UMT yang tampil menghulurkan bantuan dan menyifatkan sokongan tersebut sebagai suntikan semangat untuk beliau meneruskan pengajian serta mengejar cita-cita dalam bidang perikanan.

Inisiatif itu mencerminkan peranan UMT sebagai universiti yang bukan sahaja menitikberatkan kecemerlangan akademik, malah sentiasa mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa, khususnya daripada golongan yang memerlukan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.