
SUNGAI PETANI, 7 Jun – Peruntukan permulaan berjumlah RM2 juta diluluskan Kerajaan Persekutuan bagi membina sebuah Dewan Terbuka Serbaguna di Padang Awam Taman Keladi, di sini.
- Dewan terbuka disediakan untuk membolehkan masyarakat dan anak muda mengadakan pelbagai aktiviti selari aspirasi Kerajaan MADANI.
- Perbincangan lanjut dengan Kerajaan Kedah diperlukan untuk menyelesaikan beberapa perkara termasuk isu tanah majlis perbandaran.
- Kerajaan mahu projek disegerakan, kos dikurangkan dan pelaksanaan bergantung kepada kejayaan program Rakan Muda MADANI.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pembinaan dewan tersebut bagi membolehkan masyarakat setempat khususnya anak-anak muda mengadakan pelbagai aktiviti dan program selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk membentuk anak muda yang cemerlang dalam pelbagai aspek.
Beliau berkata perbincangan lanjut akan diadakan bersama Kerajaan Kedah bagi menyelesaikan beberapa perkara termasuk berkaitan tanah.
“Untuk tahun ini, kosnya kita cuba turunkan, tetapi kita boleh mulakan projek. Jangan lambat. Kalau kita lulus berapa banyak pun, projek perlu dimulakan dahulu.
“Jadi, untuk tahun ini kita boleh segerakan. Umpamanya, kita boleh berunding dengan Kerajaan Kedah kerana tanah ini ialah tanah bandaran, iaitu tanah majlis perbandaran.
“Kalau tanah ini diluluskan, kita boleh membina dewan serbaguna dan kita luluskan peruntukan permulaan sebanyak RM2 juta untuk memulakan projek. Ada syaratnya, iaitu kita jayakan Rakan Muda MADANI,” katanya.
Beliau berucap demikian pada Majlis Himpunan Rakan Muda Madani Peringkat Negeri Kedah 2026 di Padang Awam Taman Keladi, di sini.