Tiada permohonan tambahan kawat berduri – MKN

FOTO BERNAMA

KOTA BHARU, 7 Jun – Majlis Keselamatan Negara (MKN) belum membuat sebarang keputusan untuk menambah peruntukan bagi memasang kawat berduri jenis ‘concertina’ di jeti haram yang sudah dirobohkan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand.

RINGKASAN BERITA AI
  • MKN tidak menerima permohonan daripada PGA untuk peruntukan tambahan.
  • MKN mengekalkan peruntukan sedia ada RM100,000 diluluskan oleh ICU JPM.
  • Sebanyak 91 jeti haram di atas tanah kerajaan selesai dirobohkan pada 29 April.
  • Kawat berduri dipasang di 27 daripada 96 jeti, sepanjang 1.5 kilometer oleh kontraktor.

Ketua Pengarah MKN, Datuk Raja Nurshirwan Zainal Abidin berkata, pihaknya juga tidak menerima permohonan daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) untuk mendapatkan peruntukan tambahan tersebut.

Katanya, setakat ini pihaknya masih mengekalkan dengan peruntukan sedia ada iaitu RM100,000 yang diluluskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Setakat ini, tiada peruntukan baharu, kami mengekalkan peruntukan sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri (JKKN) Kelantan Bil 1/26 di Kompleks Kota Darulnaim, di sini.

Setakat ini, sebanyak 91 jeti haram yang dibina di atas tanah milik kerajaan selesai dirobohkan pada 29 April lalu.

Terdahulu media melaporkan, PGA melalui MKN akan memohon peruntukan tambahan bagi memasang kawat berduri jenis ‘concertina’ di baki 69 jeti haram yang sudah dirobohkan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata setakat ini, kawat berduri sudah dipasang di 27 daripada keseluruhan 96 jeti haram dirobohkan menerusi operasi bersepadu agensi keselamatan.

Beliau berkata, kontraktor sudah melaksanakan pemasangan kawat berduri sepanjang 1.5 kilometer dengan peruntukan RM100,000 yang diluluskan ICU JPM.

Fasa pertama pemasangan kawat berduri dimulakan di pangkalan haram di pekan Rantau Panjang hingga ke Pos Ibrahim Pencen sejauh 1.5 kilometer.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.