Nancy nasihat wanita elak mendaki secara solo

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri

KUCHING, 7 Jun – Peminat aktiviti mendaki, khususnya golongan wanita, dinasihatkan supaya tidak melakukan pendakian secara solo bagi mengelakkan risiko tersesat atau berdepan kejadian tidak diingini ketika berada di dalam hutan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Buat persediaan rapi dan kajian terlebih dahulu sebelum melakukan pendakian.
  • Maklumkan lokasi dan jadual pendakian kepada pihak berkuasa untuk memudahkan tindakan kecemasan.
  • Merakamkan penghargaan kepada komuniti Orang Asli atas bantuan mencari dan menemukan pendaki selamat.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata pendaki perlu berteman selain membuat persediaan rapi.

Beliau turut mengingatkan pendaki supaya memaklumkan lokasi dan jadual pendakian kepada pihak berkuasa bagi memudahkan tindakan sekiranya berlaku sebarang kecemasan.

“Jangan pergi seorang diri, sebaliknya pergilah berteman. Buat persediaan dan kajian terlebih dahulu serta pastikan pihak berkuasa mengetahui lokasi dan perancangan pendakian supaya usaha mencari dan menyelamat dapat dilakukan dengan lebih mudah sekiranya berlaku kecemasan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas insiden membabitkan pendaki wanita Jaslinda Saludin yang dilaporkan hilang selama 14 hari di Gunung Batu Putih sebelum ditemukan selamat dengan bantuan komuniti Orang Asli di Perak petang semalam.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada komuniti Orang Asli yang membantu dalam usaha mengesan Jaslinda sehingga wanita itu ditemukan dalam keadaan selamat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.