
KUALA LUMPUR, 7 Jun – Cubaan mencuri kabel di kawasan landasan kereta api di Klang berjaya digagalkan selepas seorang lelaki ditahan ketika Polis Bantuan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Pasukan Taskforce D4 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan sedang membuat rondaan, petang semalam.
- Kejadian dikesan kira-kira jam 1.15 petang selepas maklumat gangguan litar landasan di KM36.215, Downline Klang.
- Pemeriksaan menemui beberapa gulung kabel dan peralatan dipercayai digunakan untuk mencuri; suspek ditahan dan diserahkan kepada polis.
- KTMB meningkatkan rondaan dan menegaskan pencerobohan landasan boleh dihukum di bawah Akta Keretapi 1991 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.
Kejadian dikesan kira-kira jam 1.15 petang, selepas maklumat diterima mengenai gangguan litar landasan (track occupied) di KM36.215, Downline Klang.
“Bertindak atas maklumat tersebut, pasukan keselamatan segera ke lokasi sebelum mengesan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan sedang merentap dan mencuri kabel di kawasan landasan.
Hasil pemeriksaan menemukan beberapa gulung kabel serta peralatan yang dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan mencuri,” menurut kenyataan KTMB.
Suspek yang ditahan bersama barang rampasan telah diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan dan tindakan lanjut.
KTMB turut memaklumkan, rondaan dan pemantauan keselamatan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan keselamatan infrastruktur landasan serta kelancaran operasi tren sentiasa terjamin.
Menurut KTMB, perbuatan menceroboh dan merosakkan harta benda kereta api merupakan kesalahan serius di bawah Akta Keretapi 1991 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang memperuntukkan hukuman denda, penjara atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan di kawasan landasan diminta menghubungi pihak polis atau Pusat Pengumpulan dan Penyaluran Maklumat Polis Bantuan KTMB di talian 03-2263 1194 yang beroperasi 24 jam.