Manchester United lepaskan Rasmus Hojlund ke Napoli secara tetap

Pemain Napoli, Rasmus Hojlund / REUTERS

MANCHESTER, 3 Jun – Manchester United secara rasmi mengucapkan selamat tinggal kepada Rasmus Hojlund selepas penyerang muda itu melengkapkan perpindahan tetap bernilai 50 juta euro ke kelab gergasi Itali, Napoli.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dipinjamkan ke Napoli pada kempen 2025-26 dan mempamerkan prestasi cemerlang sepanjang tempoh pinjaman.
  • Di United, mengumpul 26 gol dalam 95 penampilan serta membantu United menjulang Piala FA pada Mei 2024.
  • Musim lalu meledak 16 gol dalam 44 penampilan, membantu Napoli memenangi Supercoppa Italiana dan menjadi naib juara Serie A.
  • Sertai United dari Atalanta pada 2023; kelab mengucapkan selamat maju jaya untuk masa depannya.

Hojlund, yang sebelum ini dipinjamkan ke Napoli bagi kempen 2025-26, meninggalkan Old Trafford selepas mengumpul 26 gol dalam 95 penampilan serta membantu United menjulang Piala FA pada Mei 2024.

Keputusan Napoli untuk mengikat pemain antarabangsa Denmark berusia 23 tahun itu secara kekal diumumkan secara rasmi oleh kedua-dua kelab pada Rabu, susulan prestasi cemerlang yang dipamerkannya sepanjang tempoh pinjaman di Itali.

Sepanjang musim lalu, Hojlund menjadi watak penting buat Napoli dengan meledak 16 gol dalam 44 penampilan dalam semua kejohanan, sekali gus membantu kelab itu menjulang trofi Supercoppa Italiana dan menamatkan saingan Serie A selaku naib juara.

Untuk rekod, Hojlund mula menyertai Manchester United dari kelab Serie A, Atalanta pada tahun 2023.

Antara detik manisnya bersama skuad The Red Devils termasuklah apabila diturunkan sebagai pemain gantian ketika United menewaskan Manchester City di Wembley untuk menjulang Piala FA.

“Semua pihak di kelab ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada Rasmus untuk masa hadapannya,” menurut Manchester United dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan di sini, hari ini. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.