
LOS ANGELES, 1 Jun – Ratusan barangan peribadi dan pakaian ikonik Marilyn Monroe dipamerkan sempena sambutan ulang tahun ke-100 kelahiran legenda layar perak itu yang bermula dengan siri penghormatan besar-besaran di Hollywood pada Isnin.
- Pameran "Marilyn Monroe: Hollywood Icon" di Muzium Akademi hingga Februari 2027 memaparkan khazanah termasuk gaun merah jambu dari Gentlemen Prefer Blondes.
- Peminat berkumpul di Teater Cina menyanyikan "Happy Birthday" sebagai imbasan nyanyian Monroe untuk Presiden John F. Kennedy.
- Sebagai simbolik 100 kuntum mawar dan sebiji kek diletakkan di tapak cap tangan mendiang di teater bersejarah itu.
- Julien's Auctions menganjurkan jualan "100 Years of Marilyn" menawarkan hampir 200 memorabilia peribadi pada 4 Jun.
Pameran bertajuk “Marilyn Monroe: Hollywood Icon” anjuran Muzium Akademi itu dibuka kepada umum sehingga Februari 2027 menampilkan khazanah berharga termasuk gaun merah jambu terkenal yang dipakai mendiang ketika mendendangkan lagu “Diamonds Are a Girl’s Best Friend” dalam filem Gentlemen Prefer Blondes (1953).
Selain pameran, peminat dari seluruh dunia berkumpul di Teater Cina (Chinese Theatre) yang bersejarah untuk menyanyikan lagu “Happy Birthday” sebagai imbasan kepada nyanyian puitis terkenal mendiang untuk Presiden AS, John F. Kennedy, suatu ketika dahulu.
Sebagai simbolik, sebanyak 100 kuntum bunga mawar dan sebiji kek turut diletakkan di tapak imbasan tapak tangan mendiang di teater berkenaan, yang kini menjadi lokasi tumpuan pelancong global.
Muzium Akademi juga dijadualkan mengadakan tayangan khas filem-filem lakonannya sepanjang bulan ini termasuk “The Asphalt Jungle” (1950), “Niagara” (1953), “The Seven Year Itch” (1955), “Some Like It Hot” (1959), dan “The Misfits” (1961).
Menambah kehangatan sambutan, firma lelongan Julien’s Auctions bakal menganjurkan jualan khas “100 Years of Marilyn” pada 4 Jun ini, yang menawarkan hampir 200 memorabilia peribadi mendiang termasuk gambar yang belum pernah diterbitkan, skrip nota daripada produksi terakhirnya, resipi tulisan tangan, serta gancu gincu Elizabeth Arden miliknya.
Dilahirkan di Los Angeles pada 1 Jun 1926, Monroe mengharungi zaman kanak-kanak yang sukar sebelum melonjak ke puncak populariti pada era 1950-an. Beliau bagaimanapun ditemui meninggal dunia akibat lebihan dos ubat-ubatan di kediamannya di Brentwood pada Ogos 1962 ketika berusia 36 tahun.
Di sebalik imej glamornya, Monroe juga dikenali sebagai pelopor gerakan memperjuangkan hak artis wanita apabila berani menubuhkan syarikat produksinya sendiri serta menentang sistem studio gergasi berhubung isu diskriminasi gaji, selain lantang mengecam sikap golongan “pemburu” (wolves) di Hollywood yang sering mengambil kesempatan ke atas bakat wanita. – AFP