15 kanak-kanak terkorban di Lubnan dalam tempoh seminggu

Foto REUTERS

BEIRUT, 30 Mei – Seramai 15 kanak-kanak dilaporkan terkorban manakala 62 lagi cedera di Lubnan dalam tempoh seminggu.

RINGKASAN BERITA AI
  • UNICEF menyifatkan statistik itu "amat membimbangkan" dan menegaskan keselamatan kanak-kanak wajib dilindungi menurut undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
  • Purata 11 kanak-kanak terbunuh atau cedera setiap 24 jam; majoriti terkesan akibat serangan udara di selatan Lubnan.
  • Perjanjian gencatan senjata tidak dipatuhi sepenuhnya; kedua pihak saling menuduh melanggar syarat dan melakukan serangan balas.

Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNICEF) menyifatkan statistik terbaharu itu sebagai “amat membimbangkan” dan menegaskan bahawa di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa, keselamatan golongan kanak-kanak wajib dilindungi pada setiap masa ketika konflik.

Jurucakap UNICEF, Ricardo Pires, dalam satu taklimat media di Geneva mendedahkan bahawa purata seramai 11 kanak-kanak menjadi mangsa sama ada terbunuh atau cedera dalam setiap tempoh 24 jam sepanjang minggu lalu.

“Majoriti besar kanak-kanak ini terkesan akibat serangan udara di selatan Lubnan. Malah kelmarin sahaja, seramai tujuh kanak-kanak terkorban manakala 30 lagi mengalami kecederaan,” katanya.

Secara keseluruhan, sejak gencatan senjata diumumkan, UNICEF merekodkan sebanyak 55 kematian melibatkan kanak-kanak manakala 212 lagi mengalami kecederaan.

Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan sebanyak 608 kematian dan 1,774 kecederaan telah didaftarkan di negara berkenaan dari tempoh 17 April hingga 22 Mei lepas.

Perjanjian gencatan senjata antara Israel dan kumpulan Hizbullah tajaan Iran dilihat gagal dipatuhi sepenuhnya, dengan kedua-dua pihak selepas saling menuduh melanggar syarat perjanjian bagi menghalalkan serangan balas masing-masing.

Konflik di Lubnan mula meruncing sejak awal Mac lalu apabila Hizbullah melancarkan serangan roket ke arah Israel susulan pembunuhan pemimpin tertinggi Iran dalam serangan melibatkan Amerika Syarikat dan Israel, yang kemudiannya mencetuskan serangan balas serta pencerobohan darat oleh tentera rejim. – AFP

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.