Trump teliti cadangan akhir perjanjian damai AS-Iran

Foto REUTERS

WASHINGTON, 30 Mei – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dilaporkan sedang membuat keputusan muktamad mengenai draf perjanjian damai dengan Iran.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menteri Luar Iran kata tuntutan AS kontradiktif dan berubah-ubah punca kelewatan memuktamadkan perjanjian.
  • Speaker Parlimen Ghalibaf tegas Tehran perkukuh kedudukan melalui keupayaan peluru berpandu, hanya percaya kepada tindakan.
  • Gencatan senjata rapuh; kedua pihak saling menuduh pelanggaran, termasuk serangan, balasan peluru berpandu dan campur tangan sistem pertahanan udara.

Menurut sumber, draf perjanjian tersebut kini hanya menanti kelulusan rasmi daripada Trump selepas rundingan berminggu-minggu yang sering tertangguh bagi menamatkan konflik bersenjata yang telah menjejaskan kestabilan ekonomi global itu.

“Saya akan mengadakan pertemuan sekarang, untuk membuat keputusan muktamad,” kata Trump menerusi satu hantaran di media sosial, sambil mengulangi tuntutan agar Iran tidak memiliki senjata nuklear dan membuka semula laluan maritim strategik di Selat Hormuz.

Bagaimanapun, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, membayangkan pendekatan AS yang mengemukakan tuntutan kontradiktif dan sering berubah-ubah menjadi punca kelewatan memuktamadkan perjanjian damai berkenaan.

Nada sinis turut dinyatakan oleh Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf, yang menegaskan bahawa kedudukan kukuh Tehran ketika ini diperkukuh melalui keupayaan peluru berpandu dan bukannya sekadar rundingan kosong di atas kertas.

“Kami tidak menaruh kepercayaan kepada sebarang jaminan atau kata-kata; hanya tindakan yang dikira.

“Tiada sebarang langkah akan diambil sebelum pihak lawan bertindak terlebih dahulu,” jelas Ghalibaf menerusi X.

Sentimen berhati-hati itu turut disokong oleh laporan agensi berita Iran, Tasnim, yang memetik sumber sebagai berkata bahawa teks memorandum persefahaman itu masih belum dimuktamadkan dan telah melalui beberapa pindaan saat-saat akhir.

Rundingan damai itu dilaporkan mendapat sokongan hebat daripada negara-negara Asia Barat, termasuk Qatar yang bertindak selaku perantara utama bagi mencari jalan penyelesaian konkrit, meskipun gencatan senjata yang bermula sejak 8 April lalu kekal rapuh.

Ketegangan terus membayangi rundingan apabila kedua-dua negara saling menuduh berlaku pencabulan gencatan senjata, termasuk serangan AS ke atas pelabuhan Bandar Abbas yang dibalas dengan bedilan peluru berpandu dan dron oleh Iran, sehingga mencetuskan tindak balas sistem pertahanan udara Kuwait yang menempatkan tentera AS.

Sementara itu, konflik di Lubnan terus meruncing selepas Israel dilaporkan membedil sebuah istana purba zaman pertengahan di bandar Nabatieh, sekali gus meletakkan tapak-tapak warisan sejarah di negara berkenaan dalam terancam.

Gencatan senjata antara Israel dan kumpulan Hizbullah yang sepatutnya berkuat kuasa sejak 17 April lalu dilaporkan terus gagal dipatuhi sepenuhnya, dengan kedua-dua belah pihak saling berbalas serangan atas alasan mempertahankan diri daripada pencabulan gencatan senjata pihak lawan. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.