Kebuluran: Lebih tujuh juta rakyat Sudan Selatan perlukan bantuan makanan

Foto REUTERS

GENEVA, 30 Mei – Lebih tujuh juta penduduk di Sudan Selatan yang merangkumi hampir separuh daripada populasi negara yang dilanda konflik itu kini amat memerlukan bantuan makanan segera bagi mengelakkan krisis kebuluran yang lebih buruk.

RINGKASAN BERITA AI
  • WFP: 7.2 juta orang berada dalam fasa paling kritikal, memerlukan perhatian antarabangsa untuk menyelamatkan nyawa.
  • Wilayah Jonglei, terutama Akobo, menghadapi tahap kebuluran dan lonjakan malnutrisi teruk pada kanak-kanak bawah lima tahun dan ibu menyusu.
  • WFP melancarkan operasi kecemasan, mengagihkan bantuan dan menjalankan saringan nutrisi namun berdepan cabaran logistik, keselamatan dan musim tengkujuh.

Pengarah Program Makanan Sedunia (WFP) bagi Sudan Selatan, Mutinta Chimuka, mendedahkan seramai 7.2 juta penduduk kini berada dalam fasa paling kritikal dan memerlukan perhatian antarabangsa demi menyelamatkan nyawa

Amaran tersebut menyusul selepas Ketua Bantuan Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Tom Fletcher, menyatakan kebimbangan bahawa negara di timur Afrika itu berisiko tinggi untuk mengalami kebuluran sepenuhnya jika tiada tindakan drastik diambil.

Sudan Selatan, yang memperoleh kemerdekaan daripada Sudan pada tahun 2011, terus terperangkap dalam belenggu kemiskinan tegar, rasuah, dan ketidakstabilan keselamatan selepas perjanjian perkongsian kuasa tahun 2018 antara Presiden Salva Kiir dan seterunya, Riek Machar, runtuh sejak tahun lalu.

Menurut WFP, wilayah Jonglei, khususnya di kawasan Akobo yang menjadi titik panas pertempuran terbaharu, kini berdepan tahap kebuluran dan masalah zat makanan yang amat membimbangkan.

“Kira-kira 12,000 penduduk di sana kini dikategorikan berada dalam fasa paling serius bagi ketidakjaminan makanan. Apa yang lebih membimbangkan adalah peningkatan mendadak kes malnutrisi teruk dalam kalangan kanak-kanak bawah lima tahun serta ibu yang menyusukan anak,” kata Chimuka dalam satu taklimat media dari bandar Bor menerusi panggilan video ke Geneva.

Sejak melancarkan operasi kecemasan tiga minggu lalu, WFP telah berjaya mengagihkan bantuan kepada lebih 60,000 penduduk di Akobo, selain melakukan saringan nutrisi terhadap 15,000 kanak-kanak dan menempatkan 3,000 daripada mereka untuk rawatan malnutrisi akut sederhana.

Bagaimanapun, agensi PBB itu kini berdepan cabaran logistik yang getir ekoran faktor keselamatan dan kedatangan musim tengkujuh yang bakal bermula tidak lama lagi.- AFP

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.