
KUALA LUMPUR, 25 Mei– Kem beregu lelaki profesional negara tetap optimis pasangan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani mampu bangkit daripada kekecewaan di Malaysia Masters menjelang saingan Terbuka Singapura dan Terbuka Indonesia.
- Ketua jurulatih Teo: kekalahan akhir tidak menjejaskan moral pasangan.
- Pihak lawan bermain sangat baik dan membuat persediaan rapi terhadap permainan mereka.
- Sze Fei-Izzuddin tewas kepada pasangan Denmark 16-21, 17-21 dalam tempoh 42 minit.
- Jurulatih dan Ameer Amri melakukan penyesuaian taktikal serta fokus pada pemulihan fizikal dan mental.
Ketua jurulatihnya, Teo Kok Siang berkata kekalahan di pentas akhir pada Ahad (24 Mei) tidak akan menjejaskan moral gandingan ranking kesembilan dunia itu, memandangkan mereka telah mempamerkan peningkatan prestasi yang signifikan dalam beberapa kejohanan kebelakangan ini.
“Saya rasa pihak lawan bermain sangat baik dan mereka membuat persediaan rapi terhadap permainan kami.”
“Mungkin ada sedikit kesilapan dari segi pelan permainan, namun Sze Fei-Izzuddin telah cuba untuk bangkit memberi saingan,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan pada Ahad (24 Mei).
Terdahulu, impian Sze Fei-Izzuddin untuk merangkul gelaran di laman sendiri tidak kesampaian selepas tumpas kepada gandingan Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard dengan keputusan 16-21, 17-21 dalam tempoh 42 minit.
Mengulas mengenai aspek teknikal, Kok Siang memaklumkan beliau bersama jurulatih, Ameer Amri Zainuddin sedang giat melakukan penyesuaian taktikal bagi memastikan corak permainan anak didiknya tidak mudah dibaca lawan.
“Sebab itu kami cuba mengubah sedikit ‘tabiat’ dan corak permainan supaya mereka mempunyai lebih banyak variasi ketika berada di dalam gelanggang,” jelasnya.
Menjelang dua kejohanan besar di Singapura dan Indonesia, tumpuan kini beralih kepada proses pemulihan fizikal dan mental pemain selepas mengharungi jadual perlawanan yang padat.
Beliau percaya, meskipun berdepan keletihan mental, pasangan itu mampu kembali konsisten dan memberikan persembahan terbaik pada kejohanan seterusnya.