
MANCHESTER, 25 Mei – Penyerang Manchester City, Erling Haaland merangkul Kasut Emas Liga Perdana Inggeris buat kali ketiga dalam tempoh empat musim, meskipun tidak beraksi dalam perlawanan terakhir Pengurus Pep Guardiola di Stadium Etihad, pada Ahad.
- Arsenal muncul juara EPL buat kali pertama dalam 22 tahun; City gagal mempertahankan kejuaraan.
- Haaland menamatkan musim dengan 27 gol dalam 35 penampilan, mengalami kemerosotan lalu kembali menjaringkan gol penting.
- Igor Thiago penjaring kedua terbanyak dengan 22 gol, menerima panggilan ke skuad Brazil untuk Piala Dunia.
Haaland tidak disenaraikan dalam skuad City ketika juara bertahan itu tewas 2-1 kepada Aston Villa dalam aksi yang turut menjadi penutup era 10 tahun Guardiola bersama kelab berkenaan.
Penyerang Norway berusia 25 tahun itu menamatkan musim dengan 27 gol dalam 35 penampilan liga, namun gagal membantu City mempertahankan kejuaraan apabila Arsenal muncul juara EPL buat kali pertama dalam tempoh 22 tahun.
Kejayaan itu menyaksikan Haaland menyamai pencapaian Alan Shearer dan Harry Kane sebagai pemenang Kasut Emas sebanyak tiga kali, selain hanya dibezakan satu gelaran daripada Mohamed Salah dan Thierry Henry yang memenanginya empat kali.
Penyerang Brentford, Igor Thiago, muncul penjaring kedua terbanyak musim ini dengan 22 gol, sekali gus melonjakkan namanya ke skuad Brazil bagi menghadapi Piala Dunia.
Haaland memulakan musim dengan aksi cemerlang apabila meledak 19 gol dalam 17 perlawanan pertama liga.
Namun, ketajamannya sedikit merosot sekitar penghujung tahun apabila hanya menjaringkan satu gol dalam tujuh perlawanan, sekali gus menyaksikan City hanya meraih dua kemenangan sepanjang tempoh tersebut.
Beliau kembali menemui sentuhan terbaik pada penghujung musim dengan menjaringkan gol penting ketika menentang Liverpool dan Arsenal dalam aksi yang dianggap penentu kejuaraan.
Bagaimanapun, City tetap tercicir mata ketika berdepan Everton dan Bournemouth, sekali gus membuka laluan buat Arsenal menjulang trofi EPL.-AFP