Bas sekolah disita salah guna permit

Bas membawa 26 penumpang berkenaan dipercayai dalam perjalanan ke Bukit Jenun, Pendang / foto RTM

KUALA KETIL, 18 Mei – Sebuah bas sekolah disita selepas menyalahgunakan permit dengan membawa penumpang awam dalam satu operasi khas kenderaan perkhidmatan awam (Op KPA), semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemeriksaan JPJ mendapati bas membawa 26 penumpang yang dipercayai menuju upacara pengebumian di Bukit Jenun.
  • Pemandu berusia 73 tahun mengaku membawa penumpang awam secara sambilan kerana permintaan perkhidmatan bas sekolah menurun dua tahun.
  • Kes disiasat bawah Seksyen 80(1) APAD 2010 dan Seksyen 22(3); JPJ Kedah akan jalankan Operasi Khas Aidiladha 24 hingga 31 Mei.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Stien Van Lutam berkata, kenderaan itu ditahan di susur keluar Tol Gurun sebelum diperiksa anggota penguat kuasa JPJ.

“Hasil pemeriksaan mendapati bas berkenaan membawa seramai 26 penumpang yang dipercayai dalam perjalanan menghadiri upacara pengebumian di Bukit Jenun, Pendang,” katanya pada sidang media di sini.

Menurut beliau, siasatan lanjut mendapati pemandu bas berusia 73 tahun itu mengaku membawa penumpang awam sebagai kerja sambilan berikutan kekurangan permintaan untuk perkhidmatan bas sekolah sejak dua tahun lalu.

“Kita mengesan kesalahan apabila bas sekolah digunakan untuk membawa penumpang selain daripada yang dibenarkan dalam permit. Kenderaan itu kemudian dibawa ke Stesen Penguat Kuasa Kuala Ketil untuk tindakan lanjut dan disita,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 80(1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 kerana disyaki melanggar syarat lesen pengendali mengikut Seksyen 22(3) akta sama.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan JPJ Kedah akan melaksanakan Operasi Khas bersempena Hari Raya Aidiladha 2026 selama tujuh hari bermula 24 hingga 31 Mei ini.

Menurutnya, operasi itu bertujuan meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya serta mengurangkan kadar kemalangan dan kematian susulan jangkaan pertambahan jumlah kenderaan sepanjang musim perayaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.