MOT laksana dua inisiatif stabilkan operasi logistik maritim

Gangguan laluan laut antarabangsa mengakibatkan kesesakan luar biasa di Pelabuhan Klang/Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 17 Mei – Dua inisiatif dilaksanakan bagi memastikan kelancaran operasi logistik maritim negara terus terpelihara susulan gangguan rantaian perdagangan global dan tekanan kos bahan api.

RINGKASAN BERITA AI
  • Gangguan laluan laut memaksa kapal melencong, menaikkan kos bahan api, dan mencetuskan kesesakan serta risiko gangguan rantaian bekalan.
  • Kontena kosong dipindahkan ke depoh luar pelabuhan untuk beri keutamaan kepada kontena bermuatan dan lancarkan pergerakan darat.
  • Pengusaha feri dan ro-ro dibenarkan mengenakan surcaj bahan api secara bersyarat dengan kawalan kerajaan serta penetapan siling maksimum.
  • Pelabuhan seluruh negara disediakan sebagai destinasi alternatif melalui pekeliling khas; Kerajaan MADANI komited menjaga kestabilan sektor maritim.

Kementerian Pengangkutan (MOT) menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, gangguan laluan laut antarabangsa ketika ini memaksa kapal melencong lebih jauh selain menyebabkan harga diesel melonjak melebihi RM7.50 seliter.

Menurut kementerian itu, situasi berkenaan turut mengakibatkan kesesakan luar biasa di Pelabuhan Klang serta meningkatkan risiko gangguan terhadap rantaian bekalan ekonomi negara.

“Kementerian bersama pihak pelabuhan dan operator berkaitan melaksanakan langkah bersepadu bagi memastikan kecekapan pengendalian kargo serta kestabilan kos rantaian bekalan terus terpelihara.

“Pendekatan ini memperkukuh peranan pelabuhan negara sebagai hab logistik serantau yang berdaya tahan serta mampu menyerap perubahan permintaan perdagangan global,” menurut hantaran itu.

Antara langkah dilaksanakan termasuk memindahkan kontena kosong ke depoh luar pelabuhan (off-dock depots) bagi memberi keutamaan ruang kepada kontena bermuatan serta memastikan pergerakan rantaian bekalan barangan darat kekal lancar.

Menerusi inisiatif kedua, pengusaha feri penumpang dan ro-ro dibenarkan mengenakan surcaj bahan api secara bersyarat dengan kawalan ketat kerajaan serta penetapan siling maksimum demi melindungi pengguna.

Pada masa sama, pelabuhan di seluruh negara bersiap sedia sebagai destinasi alternatif bagi menampung limpahan kapal dan kargo susulan penutupan pelabuhan antarabangsa menerusi pengeluaran pekeliling khas.

MOT menegaskan, Kerajaan MADANI kekal komited memastikan sektor maritim terus berfungsi sebagai nadi perdagangan negara demi menjamin kestabilan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.