Mekanik didakwa miliki senjata api, peluru

Tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret Baling, hari ini.

BALING, 13 Mei – Seorang mekanik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas lima tuduhan memiliki senjata api dan peluru dan tanpa permit sah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Didakwa memiliki dua pistol bersama kelopak peluru tanpa permit, mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
  • Didakwa memiliki dua laras senapang angin dan 19 butir peluru pelbagai jenis tanpa lesen, mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960.
  • Didakwa memiliki sepucuk pistol tiruan tanpa alasan sah mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960, hukuman penjara atau denda.
  • Kesalahan didakwa berlaku di bengkel kereta Kampung Siput Siong pada 1 Mei kira-kira 12.30 malam; mahkamah menolak jaminan, sebutan semula 12 Julai.

Tertuduh, Mohd Shahifuldin Mohd Shahiran, 45, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Rohaida Ishak.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa memiliki dua pistol bersama kelopak peluru tanpa permit sah

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun serta sebatan minimum enam kali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat pula, dia didakwa memiliki dua laras senapang angin serta 19 butir peluru pelbagai jenis tanpa lesen atau permit sah.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, bagi pertuduhan kelima, dia didakwa memiliki sepucuk pistol tiruan tanpa alasan yang sah mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bengkel kereta di Kampung Siput Siong, Baling pada 1 Mei lalu kira-kira pukul 12.30 tengah malam.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 12 Julai depan untuk sebutan semula kes serta lantikan peguam.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.