Isu hina sahabat Nabi, Daie MADANI lapor polis

Pengerusi Daie MADANI, Amir Zuhair Abdull Khalid / foto FB Daie Madani

KUALA LUMPUR, 13 Mei – Gerakan nasional Daie MADANI akan membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kenyataan pemimpin PAS didakwa menghina para sahabat Rasul termasuk Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar.
  • Amir Zuhair menyifatkan perbuatan itu biadab, melanggar garisan merah akidah dan mengguris sensitiviti umat Islam.
  • Beliau menyeru umat Islam dan NGO bersolidariti membuat laporan polis; menuntut tindakan undang-undang bagi memelihara kesucian agama.

Tindakan itu susulan kenyataan pemimpin PAS tersebut dalam satu ceramah politik baru-baru ini yang didakwa menghina kedudukan para sahabat Rasulullah SAW, termasuk Saidina Abu Bakar As-Siddiq dan Saidina Umar Al-Khattab.

Pengerusinya, Amir Zuhair Abdull Khalid, menyifatkan tindakan berkenaan sebagai perbuatan biadab yang melanggar “garisan merah” akidah serta mengguris sensitiviti umat Islam secara terbuka.

“Ini adalah satu jenayah besar dalam Islam. Menghina tokoh-tokoh agung yang telah mendapat jaminan syurga secara mutlak daripada lisan Nabi Muhammad SAW sendiri adalah satu bentuk penyelewengan yang tidak boleh dimaafkan.

“Kehormatan dan kesucian para sahabat Nabi bukanlah modal politik murahan untuk dijaja di atas pentas ceramah demi meraih sokongan,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata keterlanjuran kata-kata sedemikian tidak sepatutnya keluar daripada seorang individu yang mengaku memperjuangkan Islam.

Sehubungan itu, beliau turut menyeru seluruh umat Islam serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di seluruh negara agar tampil bersolidariti dengan membuat laporan polis serupa di kawasan masing-masing.

Tegas beliau, tindakan perundangan sewajarnya perlu diambil bagi memastikan kesucian agama Islam tidak sewenang-wenangnya diperalat demi kepentingan politik sempit.