
JOHOR BAHRU, 11 Mei – Masalah dalaman pasukan menjadi punca utama prestasi buruk kelab Kelantan The Real Warriors (TRW) hingga menyaksikan kekalah teruk 1-14 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, semalam.
- Isu dalaman kelab sebagai punca utama mengganggu fokus dan persiapan pasukan.
- Masalah gaji berlarutan menyebabkan pemain hilang tumpuan kepada latihan dan perlawanan.
- Pemain, staf dan pasukan kejurulatihan tetap hadir walaupun berdepan pelbagai masalah dalaman.
- Jurulatih cuba memujuk barisan pemain untuk meneruskan saingan dan tamatkan liga; perlawanan menentang Negeri Sembilan pada 16 Mei.
Jurulatih kecergasan Kelantan TRW, Kamarul Dinis Kamaruddin mendedahkan perkara itu dalam sidang media selepas perlawanan.

Menurutnya, banyak isu berbangkit terutama masalah gaji hingga menyebabkan pemain kini hilang fokus.
“Pemain-pemain, staf dan pasukan kejurulatihan sanggup datang ke sini, walaupun kami dilanda pelbagai masalah dalaman, yang diibaratkan sebagai hilang bapa.
“Jadi maksudnya kami terpaksa bergerak sendiri, dan isu-isu berbangkit menyebabkan kami tidak dapat menumpukan sepenuhnya perhatian kepada latihan,” katanya.

Kamarul Dinis berharap dapat memujuk kesemua barisan pemain dan pasukan untuk terus beraksi serta menamatkan saingan liga musim ini berdepan Negeri Sembilan FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi pada 16 Mei depan.