
BAGAN DATUK, 9 Mei – UMNO akan terus bekerjasama dengan kerajaan Negeri Sembilan bagi menjamin kestabilan pentadbiran negeri itu meskipun empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Barisan Nasional (BN) telah meletakkan jawatan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).
- Langkah diambil untuk memastikan urusan pentadbiran negeri tidak terjejas dan memberi ruang kepada Menteri Besar menjalankan tugas.
- UMNO menegaskan tidak akan campur tangan dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri dan memberi kepercayaan penuh kepada kepimpinan sedia ada.
- Kerjasama diteruskan dengan ADUN Pakatan Harapan walaupun sokongan kepada Menteri Besar ditarik semula; keputusan dibuat oleh 14 ADUN dan Biro Politik UMNO.
- Keputusan dibuat untuk menghormati institusi Raja dan Undang Negeri Sembilan, manakala hubungan diperkukuh hingga daerah dan mukim bagi kebajikan rakyat.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah tersebut diambil bagi memastikan urusan pentadbiran negeri tidak terjejas, sekali gus memberi ruang kepada Datuk Seri Aminuddin Harun untuk terus menjalankan tugasnya selaku Menteri Besar.
Beliau menegaskan bahawa UMNO tidak akan campur tangan dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri dan memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada kepimpinan sedia ada.
“Kita terus bekerjasama dengan semua ADUN-ADUN dari Pakatan Harapan di Negeri Sembilan walaupun sokongan kepada Menteri Besar itu telah ditarik semula. Ini adalah keputusan yang dibuat oleh 14 ADUN di Negeri Sembilan dan Biro Politik UMNO Malaysia.
“Keputusan ini adalah untuk menghormati institusi Raja dan juga Undang di Negeri Sembilan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Peluncuran MARA Prihatin Peringkat Kebangsaan 2026 yang diadakan di Dewan Armada Utama, Politeknik Maritim Sultan Nazrin Shah, disini.
Ahmad Zahid turut menambah bahawa hubungan antara UMNO dan kerajaan negeri akan terus diperkukuh sehingga ke peringkat daerah dan mukim bagi memastikan kebajikan rakyat tetap diutamakan.