
RANTAU PANJANG, 6 Mei – Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM31,039 selepas seorang lelaki melarikan diri ke arah Sungai Golok di pekan Rantau Panjang, malam Selasa.
- Rampasan: 341 gram bunga ganja, 388 gram biji dan 0.865 liter minyak ganja.
- Suspek meninggalkan dua plastik hitam dan melarikan diri; dikejar anggota namun berjaya meloloskan diri.
- Bahan dipercayai untuk edaran, diserahkan kepada BSJND Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas; kes disiasat di bawah Seksyen 39B.
Rampasan itu melibatkan 341 gram bunga ganja, 388 gram biji ganja serta 0.865 liter minyak ganja.
Dalam operasi Op Taring Wawasan Kelantan kira-kira pukul 11.30 malam itu, anggota rondaan PGA mengesan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan membawa dua plastik hitam.
Komander Briged Tenggara PGA, SAC Ahmad Radzi Hussain berkata, suspek bertindak meninggalkan kedua-dua plastik berkenaan sebelum melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis.
“Anggota mengejar suspek, namun lelaki itu berjaya meloloskan diri ke arah tebing Sungai Golok dan gagal dikesan.
“Hasil pemeriksaan ke atas dua plastik yang ditinggalkan menemui bahan disyaki dadah jenis ganja dalam bentuk bunga kering, biji dan cecair,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Katanya, berdasarkan kuantiti dan cara pembungkusan, bahan berkenaan dipercayai untuk tujuan pengedaran.
“Semua barang rampasan telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.