Semakan menyeluruh akan dilaksana bagi longkang berisiko

Datuk Seri Amirudin Shari

SHAH ALAM, 4 Mei – Kerajaan negeri Selangor akan melaksanakan semakan menyeluruh terhadap longkang-longkang berisiko di seluruh negeri itu susulan dua kes kanak-kanak lemas baru-baru ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Audit akan memberi tumpuan kepada keselamatan fizikal dan keadaan persekitaran di lokasi kejadian untuk mengenal pasti penambahbaikan.
  • Siasatan semula terhadap longkang dan keadaannya akan dijalankan untuk menilai punca serta langkah pembaikan yang sesuai.
  • Kejadian turut melibatkan kanak-kanak yang bermain di kawasan berkenaan; ibu bapa digesa memastikan anak tidak bermain di kawasan berbahaya.
  • Aspek keselamatan tidak boleh dipikul oleh satu pihak sahaja; ia memerlukan kerjasama semua pihak.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, audit itu akan memberi tumpuan kepada aspek keselamatan fizikal serta keadaan persekitaran di lokasi kejadian bagi mengenal pasti sebarang penambahbaikan yang diperlukan.

“Kita akan menyiasat semula isu longkang tersebut serta keadaannya. Namun, itu bukan satu-satunya faktor kerana kejadian awal melibatkan kanak-kanak yang bermain di kawasan berkenaan.

“Sehubungan itu, aspek keselamatan longkang perlu diberi perhatian, tetapi pada masa sama semua pihak, khususnya ibu bapa, perlu memastikan anak-anak tidak bermain di kawasan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Pekerja Peringkat Negeri Selangor di sini hari ini.

Datuk Seri Amirudin pada masa sama menegaskan bahawa aspek keselamatan tidak boleh dipikul oleh satu pihak sahaja, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak.