
KUALA LUMPUR, 3 Mei- Kerajaan melancarkan sambutan Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) Peringkat Kebangsaan 2026 dengan memberi tumpuan kepada aspek kesejahteraan psikososial di tempat kerja susulan peningkatan isu kesihatan mental dalam kalangan pekerja.
- Keselamatan tidak lagi tertumpu kepada faktor fizikal; aspek psikososial perlu diberi perhatian oleh majikan.
- Cabaran utama dikenal pasti termasuk kemurungan tempat kerja, kelesuan melampau (burnout) dan masalah kesihatan mental umum.
- Kementerian dan agensi memberi taklimat kepada majikan, disokong NIOSH serta jabatan KESUMA membangunkan panduan dan gerakan tindakan.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata pendekatan itu mencerminkan keperluan semasa apabila aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan tidak lagi boleh tertumpu kepada faktor fizikal semata-mata.
“Selama ini fokus keselamatan di tempat kerja lebih tertumpu kepada aspek fizikal, namun isu psikososial sering kali terlepas pandang oleh pihak majikan,” katanya dalam sidang media selepas sambutan tersebut di ibu negara, hari ini.
Beliau berkata antara cabaran utama yang dikenal pasti ialah kemurungan di tempat kerja, kelesuan melampau (burnout) dan masalah kesihatan mental secara umum dalam kalangan pekerja.
Dalam pada itu, beliau berkata majikan telah diberikan penerangan dan taklimat oleh kementerian melalui agensi berkaitan sebagai panduan bagi memastikan persekitaran kerja yang lebih sihat dan selamat.
“Majikan bukan sahaja diberitahu tetapi turut diberikan taklimat atau ‘briefing’ sebagai panduan utama oleh pihak kementerian melalui agensi-agensi berkaitan supaya mereka memahami keperluan memastikan persekitaran dan tempat kerja yang baik dengan mematuhi panduan yang telah disediakan dengan jelas,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) serta jabatan-jabatan di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) atas inisiatif membangunkan pelbagai panduan dan gerakan tindakan berkaitan isu psikososial di tempat kerja.