KUSKOP sasar penjimatan kos operasi RM20 juta

Menteri KUSKOP, Steven Sim pada sesi Walkabout Program Jualan MADANI Koperasi dan Usahawan KUSKOP 2026 di Butterworth.

BUTTERWORTH, 3 Mei Penjimatan kos operasi hingga RM20 juta disasarkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi strategi penyusunan semula perbelanjaan mengurus kementerian.

RINGKASAN BERITA AI
  • Langkah penjimatan termasuk hadkan majlis keramaian, pembekuan pembelian aset baharu dan pengurangan delegasi luar negara.
  • Sokongan kepada Kementerian Kewangan tentang strategi penjimatan kos dan penjelasan bahawa ia bukan pemotongan belanjawan untuk rakyat.
  • Penjimatan perbelanjaan mengurus akan disalurkan semula kepada rakyat melalui program pembangunan dan bantuan kos sara hidup.
  • Perdana Menteri arahkan semua kementerian, agensi dan badan berkanun selaraskan perbelanjaan dan anjurkan program pada skala sederhana.

Menteri KUSKOP, Steven Sim berkata langkah penjimatan yang akan diambil termasuk menghadkan
majlis keramaian, pembekuan pembelian aset baharu serta pengurangan jumlah delegasi bagi tugasan luar negara.

“Saya telah menyatakan sokongan kepada usaha Kementerian Kewangan mengenai strategi penjimatan kos. Saya juga telah menjelaskan mungkin ada pihak yang salah faham seolah-olah memotong belanjawan untuk jaga rakyat dan sebagainya.

“Tidak. Tindakan penjimatan ini supaya kita boleh fokus kepada pembangunan dan kebajikan rakyat. Kata lain, kerajaan ikat perut supaya kita boleh jaga rakyat dengan lebih baik,” jelas beliau.

Tambah beliau, dengan penjimatan perbelanjaan mengurus tersebut dapat disalurkan semula kepada rakyat melalui program pembangunan dan kos sara hidup rakyat khususnya berdepan ketidaktentuan ekonomi ketika ini.

Beliau ditemui pada sesi Walkabout Program Jualan MADANI Koperasi dan Usahawan KUSKOP 2026 di Sg Puyu di Dewan Terbuka Taman
Tanjung Aman.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua kementerian, agensi kerajaan dan badan berkanun melaksanakan penyelarasan perbelanjaan dengan menganjurkan program pada skala sederhana.