
KUALA LUMPUR, 24 April – Sebuah premis penyimpanan makanan sejuk beku di Skudai, Johor digempur pihak berkuasa selepas disyaki menyimpan karkas daging babi tanpa kelulusan penyembelihan sah.
- Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM63,486.
- Ditemui 22 karkas daging babi sejuk beku, anggaran 1,058.1 kilogram, dokumen penyembelihan diragui.
- Tujuh individu ditahan, enam warga Nepal dan pemilik premis wanita tempatan, siasatan di bawah Akta Imigresen dan tindakan veterinar.
Komander Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman Datuk Mohd Zaki Ashar berkata nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM63,486.
Katanya, dalam serbuan kira-kira pukul 10.30 pagi itu pihaknya menahan tujuh individu terdiri daripada enam lelaki Nepal dan seorang wanita tempatan yang juga pemilik premis.
“Pemeriksaan di premis berkenaan menemukan sebanyak 22 karkas daging babi sejuk beku dengan anggaran berat 1,058.1 kilogram yang mempunyai dokumen penyembelihan meragukan.
“Kesemua daging itu disyaki tidak disembelih di rumah sembelihan yang diluluskan atau dilesenkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Mohd Zaki berkata, kesemua warga Nepal ditahan kerana disyaki melanggar syarat pas di bawah Peraturan 39(b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Pemilik premis pula ditahan kerana menggajikan pekerja asing dan akan diambil tindakan lanjut,” katanya.
Tambah beliau, kes turut disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 39B Akta Imigresen 1959/63.
Kesemua tangkapan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara untuk tindakan lanjut, manakala kes berkaitan pelanggaran peraturan penyembelihan diambil tindakan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar.