
KOTA BHARU, 21 April– Peningkatan kadar sumbangan BUDI Diesel Individu daripada RM300 kepada RM400 sebulan yang mula dikreditkan hari ini disambut baik oleh para penerima.
- Inisiatif bantuan memberi kelegaan kepada peniaga kecil dan pekerja sendiri bergantung kepada kenderaan diesel untuk operasi harian.
- Tambahan bantuan membantu menampung kos operasi yang meningkat, seperti pembelian diesel untuk bergerak ke lokasi perniagaan dan acara.
- Langkah kerajaan dilihat sebagai komitmen berterusan membantu peniaga; manfaat dijangka kepada kira-kira 150,000 pemilik kenderaan diesel.
Inisiatif tersebut memberikan kelegaan, khususnya kepada golongan peniaga kecil dan pekerja sendiri yang bergantung sepenuhnya kepada kenderaan diesel untuk kelangsungan operasi harian.
Bagi mereka, tambahan RM100 tersebut amat bermakna dalam membantu menampung kos operasi yang semakin meningkat.
Seorang peniaga air balang, Faridah Hussin, menyifatkan kenaikan subsidi itu sekurang-kurangnya dapat mengurangkan beban pembelian bahan api tersebut.
Menurut Faridah, beliau membelanjakan sekitar RM50 setiap hari bagi pengisian diesel untuk bergerak ke lokasi perniagaan, terutamanya apabila melibatkan penyertaan dalam pelbagai acara dan karnival.
“Bantuan ini sedikit sebanyak membantu kami berbanding tiada langsung. Ia meringankan beban kos yang terpaksa ditanggung. Jika jumlahnya kekal RM300, bagi perjalanan jauh, ia mungkin hanya cukup untuk menampung kos diesel selama dua hari sahaja,” kata Faridah.
Sementara itu, bagi pengurus acara, Mohd Nazrom Zakaria, kenaikan kadar bantuan itu memberikan ruang untuk beliau menguruskan perbelanjaan operasi perniagaan dengan lebih teratur.
Beliau menggunakan kenderaan diesel setiap hari bagi mengangkut peralatan acara ke pelbagai lokasi program.
“Kenaikan bantuan daripada RM300 ke RM400 ini mungkin tidak nampak terlalu besar bagi sesetengah pihak, namun kami melihatnya sebagai satu usaha murni daripada kerajaan. Ia sangat membantu para peniaga dan usahawan dalam mengurangkan sedikit kos operasi harian kami,” kata Mohd Nazrom.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan penyelarasan bantuan BUDI Diesel Individu kepada RM400 sebulan sebagai langkah sokongan tambahan kepada pemilik kenderaan diesel.
Inisiatif berkenaan dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 150,000 pemilik kenderaan diesel individu di Semenanjung Malaysia.
Langkah tersebut dilihat sebagai komitmen berterusan kerajaan dalam membantu golongan peniaga kecil dan individu yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup serta kos operasi perniagaan.