Gempa: JBPM pantau, nilai tahap keselamatan kawasan sekitar Gunung Kinabalu

Foto JBPM

KOTA KINABALU, 21 April – Pasukan Mountain Search and Rescue (MOSAR) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menjalankan pemantauan dan rondaan keselamatan di sekitar kawasan Gunung Kinabalu susulan kejadian gempa bumi awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemantauan melibatkan pemeriksaan laluan pendakian utama, kawasan berisiko seperti batu longgar dan runtuhan kecil, serta penilaian keselamatan pendaki dan malim.
  • Komunikasi berterusan dijalinkan bersama agensi berkaitan bagi memastikan situasi di gunung sentiasa terkawal.
  • Keadaan dilaporkan terkawal tanpa sebarang insiden, manakala pemantauan dan rondaan keselamatan masih diteruskan.
  • Jabatan Meteorologi melaporkan gempa lemah magnitud 3.4 di Kundasang, pendaki dinasihati hentikan aktiviti jika berlaku gegaran susulan.

Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sabah, pemantauan melibatkan pemeriksaan laluan pendakian utama, kawasan berisiko seperti batu longgar dan runtuhan kecil, serta penilaian tahap keselamatan pendaki dan malim gunung.

“Komunikasi berterusan turut dijalankan bersama agensi berkaitan bagi memastikan situasi di gunung berkenaan sentiasa terkawal.

“Setakat pukul 10.30 pagi tadi, keadaan dilaporkan terkawal tanpa sebarang insiden, manakala aktiviti pemantauan masih diteruskan,” jelas kenyataan tersebut.

Dalam kenyataan sama, JBPM menasihati orang ramai khususnya pendaki agar sentiasa mematuhi arahan pasukan keselamatan, menghentikan pendakian sekiranya berlaku gegaran susulan serta mengelakkan kawasan berisiko seperti cerun dan batu longgar.

“Sebarang kejadian atau kecemasan perlu segera dilaporkan kepada pihak berkuasa,” tambah kenyataan itu.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan satu kejadian gempa bumi lemah bermagnitud 3.4 berlaku di Kundasang, pada pukul 3.02 pagi tadi pada kedalaman 10 kilometer.