Rose dilantik pengendali baharu Bournemouth

Marco Rose / AFP

LEIPZIG, 21 April – Kelab Liga Perdana Inggeris, AFC Bournemouth, mengumumkan pelantikan jurulatih dari Jerman, Marco Rose, sebagai ketua jurulatih baharu bermula musim depan menerusi kontrak tiga tahun.

RINGKASAN BERITA AI
  • Andoni Iraola akan meninggalkan kelab pada penghujung musim ini.
  • Bournemouth kini di tangga kelapan, tidak tewas dalam 13 perlawanan liga dan berpeluang layak ke saingan Eropah buat pertama kali.
  • Rose, 49, membawa pengalaman luas Eropah; menang dua gelaran Bundesliga Austria bersama Salzburg dan menjulang Piala Jerman.
  • Kelab tekankan fokus menamatkan musim dengan prestasi terbaik, pemain dan barisan kejurulatihan kekal komited meneruskan rentak tanpa kalah.

Pelantikan itu dibuat susulan pengesahan pengendali semasa, Andoni Iraola, yang akan meninggalkan kelab pada penghujung musim ini.

Bournemouth yang kini menghuni tangga kelapan Liga Perdana dan tidak tewas dalam 13 perlawanan liga, berada di landasan terbaik untuk layak ke saingan Eropah buat kali pertama dalam sejarah kelab sejak ditubuhkan pada 1899.

Menurut kenyataan kelab, Rose, 49, hadir dengan pengalaman luas di pentas tertinggi bola sepak Eropah.

Beliau memulakan kerjaya kejurulatihan bersama Lokomotive Leipzig pada 2012 sebelum mencipta kejayaan bersama Red Bull Salzburg dengan memenangi dua gelaran Bundesliga Austria.

Rose turut membantu Borussia Dortmund menamatkan saingan Bundesliga di tempat kedua sebelum menjulang Piala Jerman bersama RB Leipzig pada 2023. Bagaimanapun, beliau dipecat oleh Leipzig pada 2025.

Dalam perkembangan sama, Bournemouth yang mengejutkan pendahulu liga, Arsenal, awal bulan ini, kini mengumpul 48 mata, berkongsi kedudukan dengan Chelsea di tangga keenam.
Pasukan itu dijadualkan menentang Leeds United pada Rabu ini.

Kelab itu menegaskan fokus utama ketika ini adalah untuk menamatkan musim dengan prestasi terbaik, dengan pemain dan barisan kejurulatihan kekal komited meneruskan rentak tanpa kalah 13 perlawanan.-REUTERS