Krisis global: Perak sedia jajar semula belanjawan

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad/RTM

IPOH, 15 April – Kerajaan Negeri Perak sedang meneliti langkah penjajaran semula belanjawan negeri bagi menangani impak ketidaktentuan ekonomi global tanpa melibatkan sebarang perbelanjaan baharu buat masa ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pendekatan penyusunan semula peruntukan pernah digunakan semasa pandemik dan terbukti berkesan dalam menghadapi krisis.
  • Jika situasi kritikal, kerajaan negeri akan menimbang sidang khas untuk membentangkan bajet tambahan.
  • Walaupun harga minyak meningkat, aktiviti ekonomi lancar; pelaburan asing stabil dan negeri berpotensi manfaat dari peralihan rantaian bekalan.
  • Kerajaan memperkukuh keselamatan makanan, galak penghasilan sendiri, tambah jualan barangan murah dan sokong sektor logistik terjejas.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, strategi itu akan memberi keutamaan kepada penyusunan semula peruntukan sedia ada bagi memastikan agenda kebajikan rakyat dan kelangsungan ekonomi negeri terus terpelihara.

Menurut beliau, pendekatan itu bukan perkara baharu kerana kaedah berkenaan pernah dilaksanakan ketika pandemik COVID-19 dan terbukti berkesan dalam mendepani situasi krisis.

“Jika ia sangat kritikal dan memerlukan kerajaan berbelanja lebih, kita akan teliti dan jika ia perlu, kita akan memanggil sidang khas untuk buat supplementary budget (bajet tambahan).

“Sebab saya katakan tadi, kita ni ‘lain padang lain belalang’, lain negeri lain caranya. Insya-Allah kita akan cuba sedaya upaya untuk memastikan keadaan ini selesa kerana ada beberapa kaedah kita boleh jalankan,” katanya pada Mesyuarat Pertama, Tahun Keempat, Dewan Negeri Perak Ke-15 di sini, hari ini.

Tambahnya, meskipun berdepan kenaikan harga minyak dunia, aktiviti ekonomi di negeri itu masih lancar dan tidak terjejas sepenuhnya.

Malah, pelaburan asing di negeri itu kekal stabil tanpa sebarang pembatalan projek utama, selain berpotensi meraih manfaat daripada peralihan rantaian bekalan global.

Sebagai langkah intervensi tambahan, kerajaan negeri kini memperkukuh agenda keterjaminan makanan bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber import yang semakin mahal, termasuk menggalakkan rakyat menghasilkan makanan sendiri.

Selain itu, bagi menangani kos sara hidup, kerajaan negeri turut mempertimbang peluasan program jualan barangan keperluan pada harga murah serta menyalurkan sokongan kepada sektor logistik yang terkesan.