
SHAH ALAM, 14 April – Lebih 200,00 penjawat awam dijangka terlibat dengan pelaksanaan Bekerja Dari Rumah (BDR) bermula esok.
- Pelaksanaan BDR perlu mendapat kelulusan ketua jabatan berdasarkan keperluan.
- Kerajaan meluluskan dasar BDR bermula 15 April, dilaksanakan tiga hari seminggu bagi kementerian, agensi, badan berkanun dan GLC.
- Dasar terpakai untuk staf di Putrajaya, KL, Selangor dan ibu negeri yang tinggal lebih lapan kilometer; tidak termasuk sektor keselamatan, pertahanan, kesihatan, pendidikan.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, kelulusan pelaksanaannya tertakluk kepada ketua jabatan serta keperluan.
“Sistem BDR sedia ada mampu menampung sehingga 200,000 penjawat awam, namun bukan semua akan diluluskan kerana ia tertakluk kepada pertimbangan ketua jabatan,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Semarakkan Inovasi Sektor Awam Tahun 2026 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Ala (MBSA) di sini, hari ini.
Terdahulu, Tan Sri Shamsul Azri semasa berucap turut menyatakan keyakinan bahawa penjawat awam akan komited menjalankan tanggungjawab serta berintegriti sepanjang tempoh BDR.
“Kerajaan telah meluluskan dasar BDR bermula 15 April, tapi saya yakin penjawat awam tidak baring, duduk dan rehat, dan penjawat awam juga tidak beli-belah di pasar raya.
“Kita tak boleh jadikan alasan pelaksanaan BDR ini untuk melambat-lambatkan atau menangguhkan mana-mana program asal yang telah kita jadualkan.
“Apa yang perlu kita lakukan ialah menyemak semula program-program agar ianya bersesuaian dengan dasar penjimatan sekarang, bukannya membatalkan atau menangguhkan program. Jika ia benar-benar perlu, kita perlu laksanakan,” katanya.
Kerajaan bersetuju melaksanakan BDR bermula esok sebagai sebahagian daripada usaha penjimatan kos susulan konflik Asia Barat.
Ia melibatkan kementerian, agensi, badan berkanun serta Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dengan pelaksanaannya selama tiga hari seminggu bagi penjawat awam.
Dasar itu hanya terpakai kepada penjawat awam di Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor dan semua ibu negeri yang tinggal dalam jarak lebih lapan kilometer sehala dari pejabat dan tidak termasuk kakitangan awam dalam sektor keselamatan dan pertahanan serta kesihatan dan pendidikan.