Kanak-kanak enam tahun lemas terjatuh dalam terusan

FOTO JBPM Pulau Pinang

KEPALA BATAS, 9 April – Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh ke dalam terusan air di Sungai Dua, di sini, petang tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kanak-kanak tergelincir ketika bermain bersama rakannya di pinggir terusan.
  • Terusan berkedalaman kira-kira lima meter dan mempunyai arus; mangsa ditemukan terapung kira-kira tiga kilometer dari lokasi.
  • Pasukan bomba memberi rawatan awal, mangsa diserahkan kepada KKM dan disahkan meninggal; operasi melibatkan 16 anggota, tamat 6.56 petang.

Mangsa dipercayai tergelincir ketika bermain bersama rakannya di pinggir terusan berkenaan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, terusan itu berkedalaman kira-kira lima meter dan mempunyai arus.

Menurut beliau, pihaknya menerima laporan kejadian pada pukul 5.03 petang sebelum pasukan bomba tiba di lokasi 11 minit kemudian.

“Mangsa ditemukan dalam keadaan hanyut dan terapung kira-kira tiga kilometer dari lokasi dia dilaporkan terjatuh,” katanya.

Pasukan bomba memberikan rawatan awal sebelum mangsa diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia.

Operasi yang tamat pada pukul 6.56 petang itu melibatkan seramai 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bertam dengan bantuan Balai Bomba dan Penyelamat Kepala Batas.