N. Sembilan cakna situasi pelarasan sementara BUDI95

Foto hiasan

SEREMBAN, 27 Mac – Rata-rata penduduk di Negeri Sembilan memahami situasi semasa berkenaan pelarasan sementara had penggunaan bahan api bawah inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Orang ramai melihat pelarasan sebagai usaha menjadikan subsidi lebih bersasar dan menggalakkan penggunaan bahan api lebih berhemah.
  • Langkah ini dianggap memberi manfaat jangka panjang termasuk penjimatan petrol dan pengurangan kesesakan melalui kerja dari rumah.
  • Sebahagian pekerja mengakui kesan kecil tetapi faham sasaran subsidi, manakala ramai menekankan perlunya perancangan perjalanan harian.

Tinjauan RTM mendapati orang ramai melihat langkah kerajaan itu sebagai usaha memastikan subsidi lebih bersasar, selain menggalakkan perancangan penggunaan bahan api secara lebih berhemah.

Penganalisis data, Nur Afiqah Aleeya Hassim, 26, berkata langkah itu memberi manfaat untuk jangka panjang.

“Saya lihat ini sebagai langkah yang baik untuk jangka panjang. Selain menjimatkan petrol, bekerja dari rumah juga boleh mengurangkan kesesakan jalan raya. Jadi, secara keseluruhan ia memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Bagi kontraktor, Khoirul Umam Rukimen, 28, pengurangan had berkenaan mungkin memberi sedikit kesan, namun beliau memahami usaha kerajaan untuk memastikan subsidi lebih menyasarkan golongan yang layak.

“Bagi saya, pengurangan had itu memang ada sedikit kesan. Namun, kita faham kerajaan ingin memastikan subsidi lebih menyasarkan golongan yang layak. Dengan adanya kelonggaran bekerja dari rumah, sekurang-kurangnya penggunaan petrol dapat dikurangkan,” katanya.

Sementara itu, penghantar makanan, Mohd Iqbal Mohd Nizam, 25, berpandangan situasi semasa masih terkawal dan tidak memerlukan sebarang panik.

“Pada saya, situasi ini masih terkawal dan tidak perlu panik. Walaupun kerajaan menghadkan kepada 200 liter, mereka juga membenarkan kerja dari rumah. Ini bagus kerana dapat mengurangkan penggunaan petrol dan sekali gus meringankan beban rakyat,” katanya.

Bagi pembantu tadbir, Nur Hafizah Mohd Ganni, 30, perjalanan jauh ke tempat kerja menyebabkan penggunaan petrol harian agak tinggi.

“Bekerja jauh memang agak sukar kerana penggunaan petrol tinggi setiap hari. Namun, jika benar boleh bekerja dari rumah secara berkala, Alhamdulillah, ia sangat membantu,” katanya.

Dalam pada itu, pelajar, Nur Damia Qaisara Syahrol Rizan, 20, menegaskan orang ramai perlu lebih bijak merancang perjalanan harian susulan pengurangan had tersebut.

“Apabila had dikurangkan, kita perlu lebih bijak merancang perjalanan harian. Saya rasa usaha kerajaan membenarkan bekerja dari rumah ini merupakan langkah berterusan, bukan sahaja menjimatkan petrol tetapi juga membantu mengurus perbelanjaan dengan lebih teratur,” katanya.