1.34 tan kokain disorok dalam ‘sayur’ untuk pasaran Mesir

Operasi di Posorja berjaya menggagalkan penghantaran dadah ke Mesir/Foto El Comercio

GUAYAS, ECUADOR, 27 Mac – Polis Ecuador merampas sebanyak 1.34 tan dadah jenis kokain yang disorok dalam muatan sayur-sayuran di Pelabuhan Posorja, di sini, Khamis.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kontena diisytihar membawa produk sayur-sayuran untuk dieksport ke Mesir.
  • Pemeriksaan menggunakan anjing pengesan menemui bungkusan mencurigakan; ujian mengesahkan bahan positif kokain.
  • Jumlah rampasan bersamaan lebih 13.4 juta dos, nilai anggaran AS$62.8 juta di Eropah dan AS$40 juta di Amerika Syarikat.

Rampasan dilakukan hasil pemeriksaan oleh Polis Nasional Ecuador terhadap sebuah kontena yang diisytihar membawa produk sayur-sayuran untuk dieksport ke Mesir.

Menurut pihak berkuasa, pemeriksaan menggunakan anjing pengesan membawa kepada penemuan beberapa bungkusan mencurigakan yang tidak sepadan dengan muatan sebenar.

“Hasil ujian mendapati bahan tersebut positif dadah jenis kokain,” menurut kenyataan polis.

Pihak berkuasa memaklumkan jumlah rampasan itu bersamaan lebih 13.4 juta dos dadah, dengan nilai dianggarkan mencecah AS$62.8 juta (hampir RM300 juta) di pasaran Eropah dan kira-kira AS$40 juta (kira-kira RM189 juta) di pasaran AS.

Kes disiasat di bawah undang-undang berkaitan dadah di Ecuador dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian pengedaran terlibat. – VIORY