Fenomena MJO punca cuaca panas, kering sepanjang Aidilfitri

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 22 Mac – Cuaca kering dan panas yang melanda kebanyakan kawasan sepanjang musim perayaan Aidilfitri ketika ini berpunca daripada fenomena Ayunan Madden-Julian (MJO) yang sedang berada pada fasa tertentu.

RINGKASAN BERITA AI
  • MJO ialah ayunan atmosfera semula jadi dalam tempoh 20 hingga 60 hari yang mempengaruhi corak cuaca global.
  • Negara kini dalam fasa perolakan terhalang menyebabkan pembentukan awan berkurang, pancaran matahari meningkat dan risiko gelombang haba.
  • Fenomena bermula dua minggu lalu, dijangka berterusan sekurang-kurangnya seminggu; MetMalaysia mengeluarkan amaran gelombang haba 37 hingga 40 darjah Celsius.

Pakar Klimatologi dan Perubahan Iklim Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Emeritus Dr Fredolin Tangang berkata, MJO merupakan sistem ayunan semula jadi atmosfera yang berlaku dalam tempoh antara 20 hingga 60 hari dan boleh mempengaruhi corak cuaca global.

Menurutnya, ketika ini negara berada dalam fasa perolakan terhalang yang menyebabkan pembentukan awan berkurangan serta peningkatan pancaran haba ke permukaan bumi.

“Pada ketika ini kita didominasi oleh fasa perolakan terhalang… keadaan tekanan tinggi, pembentukan awan yang kurang menyebabkan pancaran matahari meningkat dan kekurangan hujan mengurangkan proses penyejukan, sekali gus boleh mencetuskan gelombang haba,” katanya ketika dihubungi RTM.

Beliau berkata, fenomena berkenaan berupaya membawa perubahan cuaca ekstrem sama ada hujan lebat atau keadaan panas dan kering bergantung kepada fasa yang berlaku.

Tambahnya, berdasarkan ramalan Pusat Ramalan Iklim Amerika Syarikat, keadaan tersebut telah bermula sejak dua minggu lalu.

Ia dijangka berterusan sekurang-kurangnya seminggu atau lebih sebelum sistem berkenaan beralih ke arah timur Lautan Pasifik.

Terdahulu, MetMalaysia meramalkan cuaca panas tahap dua (gelombang haba) dengan suhu maksimum harian antara 37 hingga 40 darjah Celsius di beberapa kawasan untuk tiga hari berturut-turut.

Antara kawasan terlibat ialah Padang Terap, Kedah yang mencatatkan cuaca panas tahap dua (gelombang haba).

Sementara itu, kawasan lain seperti Perlis, Baling, Sik, Pendang, Pokok Sena, Kubang Pasu, Pulau Langkawi, Kuala Muda, Bandar Baharu, Timur Laut (Pulau Pinang), Hulu Perak dan Rembau berada pada tahap satu (berjaga-jaga).